1MDB : SPRM Jamin Tindakkan Telus Dan Profesional

Kuala Lumpur – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan akan bertindak secara telus dan profesional dalam isu melibatkan firma pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selaras dengan Akta SPRM 2009.

 
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, pihaknya akan memanggil Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk mendapatkan maklumat tambahan berhubung perkara itu.

 
Mohd Shukri berkata laporan yang dibuat Khairuddin kepada SPRM merupakan laporan yang sama dikemukakan kepada pihak polis sebelum ini.

 
“SPRM akan memanggil Khairuddin untuk mendapatkan maklumat tambahan daripada beliau sebelum membuat keputusan sama ada terdapat asas untuk menjalankan siasatan di bawah Akta SPRM 2009.

 
“SPRM memberi jaminan akan bertindak secara telus dan profesional dalam isu ini selaras dengan akta itu,” kata Shukri dalam satu kenyataan hari ini.

 
Pada Khamis, Khairuddin menggesa SPRM untuk menyiasat seluruh Ahli Lembaga Pengarah 1MDB yang memberi kelulusan kepada pelbagai transaksi perniagaan yang didakwanya tidak telus.

 
“Buat masa kini, saya terpaksa menghormati undang-undang kerana semuanya di peringkat siasatan,” katanya.

 
Khairuddin, yang mencetuskan kontroversi apabila membuat laporan polis terhadap 1MDB dan anak syarikatnya, juga didakwa telah diisytihar muflis pada 24 Mei 2013.

 
Sebelum ini, Pemuda UMNO Bahagian Batu Kawan turut meminta status dan kedudukan Khairuddin dalam politik disiasat Lembaga Disiplin UMNO.

 
Dalam pada itu, Khairuddin tidak menafikan kemungkinan keluar daripada parti berikutan serangan peribadi yang diterimanya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.