13 Didakwa Sertai Pesta Dadah, Seks

Klang: Tiga belas individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang atas tiga tuduhan memiliki dadah dan satu tuduhan memiliki air ketum, sebentar tadi selepas ditahan dalam serbuan ketika menyertai pesta dadah dan seks di sebuah hotel di Klang, Ahad lalu.

 

Bagaimanapun tertuduh yang terdiri daripada tujuh lelaki dan lima wanita berusia 20 hingga 31 tahun itu mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

 

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa memiliki dadah jenis ketamin seberat 0.68 gram (g), pil eramin 5 seberat 0.75g, pil ekstasi seberat 5.01g dan satu botol mineral lima liter yang berisi air ketum.

 

Mereka dituduh secara bersama melakukan kesalahan itu di bilik nombor 201, Hotel Histana, Jalan Batu Tiga Lama, Klang pada 11 Januari lalu, 3 pagi.

 

Bagi kesalahan memiliki dadah, semua tertuduh dituduh mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala bagi kesalahan memiliki air ketum mereka didakwa mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

 

Majistret Mariam Maran Abdullah membenarkan semua tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi kesalahan dadah dan RM2,000 bagi kesalahan memiliki air ketum dengan dijamin seorang ahli keluarga.

 

Mahkamah menetapkan 25 Februari depan sebagai sebutan semula kes. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.