KUALA LUMPUR – “Pada zaman pasca moden dan pasca Umno sekarang, kita dah tak boleh lagi sorokkan semua isu sensitif di bawah karpet, ” kata Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Menurut Ketua Armada Bersatu, ini terbukti dengan isu isu sensitif mula dilontarkan secara terbuka seperti pendapat DAP berkenaan kemungkinan Perdana Menteri bukan Melayu pada masa depan.
“Saya terpanggil untuk bersuara lagi kerana banyak penyokong PH yang koyak berikutan gesaan saya berkaitan isu Perdana Menteri bukan Melayu.
“Namun nampaknya mereka komen mengikut nafsu dan fobia,” katanya.
Ahli Parlimen Machang itu menyebut, para penyokong PH mesti memahami gesaan beliau secara logik.
Ujar Wan Fayhsal, lagenda DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang pertama sekali membuka mulut pasal kemungkinan Perdana Menteri dari kalangan bukan Melayu.
“Selepas disiasat polis, Kit Siang secara terang dan jelas mengumumkan Perlembagaan Persekutuan tidak menghalang orang bukan Melayu daripada menjadi Perdana Menteri.
“Kenyataan kenyataan Kit Siang secara sengaja dilontarkan kepada umum dan bahkan terdapat NGO yang mengaitkan negara dengan apartheid kerana tentangan terhadap idea Perdana Menteri bukan Melayu.
“Ini menimbulkan kegelisahan kepada Melayu dan bukan Melayu,” katanya.
Tegas beliau, jawatan Perdana Menteri Malaysia bukan seperti jawatan Presiden Indonesia yang dipilih secara terus oleh pengundi.
Oleh itu jelas beliau, ia terdedah kepada manipulasi bilangan wakil rakyat di Parlimen.
“Rakyat di bawah risau bilangan kawasan Melayu berkurang akibat siri Persempadanan Semula kawasan pilihanraya di Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu dalam penggal ini.
“Kita boleh buat-buat faham jika pihak di “sebelah sana” pun faham.
“Akan tetapi jika pihak di “sebelah sana” acah-acah tak nak faham, adalah lebih baik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapkan isu ini dalam hitam putih, yakni Perlembagaan Persekutuan.