Zaman Mat Taib MB Selangor, Anugerah Kebesaran Macam Buffet – Sultan Selangor

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengibaratkan penganugerahan darjah kebesaran yang dilaksanakan semasa Selangor ditadbir Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib hampir sama seperti hidangan ‘buffet’.

 

Sultan Sharafuddin berkata Muhammad Muhd Taib yang lebih dikenali dengan gelaran Mat Taib ketika itu telah menukar adat negeri apabila memberi darjah kebesaran dengan hanya memerlukan kelulusan exco tanpa perlu melalui Dewan Diraja.

 

“Sebab itu kadang-kadang istana kata darjah kebesaran semasa zaman Muhammad seperti buffet sahaja, letak atas meja terus ambil,” kata Baginda dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia Ahad lepas.

 

Baginda turut mengakui tidak begitu menghormati Mat Taib selaku Menteri Besar Selangor yang mentadbir negeri itu dari 1986 hingga 1997, yang didakwanya telah mengaut kekayaan ketika aktif berpolitik disamping sikapnya yang sering melompat parti.

 

“Terus terang, saya tidak hormat pada Muhammad Taib. Dia buat kekayaan ketika berada dalam Umno, kemudian masuk PAS.

 

“Kemudian apabila PAS kelam-kabut, dia keluar dan masuk PKR. Kalau dia masuk mana sekalipun, macam mana hendak hormat sebab dia banyak melompat,” kata baginda.

 

Mat Taib melompat menyertai PAS pada April 2013, dua hari sebelum Pilihanraya Umum Ke-13 berlangsung. Beliau kemudiannya menyertai PKR pada September 2015 selepas kumpulan Anwarinas yang disokongnya tewas dalam Muktamar PAS 2015. – SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.