Tiada Pakatan Sulit UMNO, Pas – Mohd Amar

Kota Bharu – Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengakui memang wujud pertemuan di antara pemimpin Pas dan UMNO dari semasa ke semasa sejak era kepimpinan terdahulu.

 

Namun, katanya, ia sekadar pertemuan biasa dan tidak melibatkan perbincangan ke arah membentuk kerjasama politik.

 

“Perjumpaan pimpinan adalah biasa. Dahulu, Allahyarham Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) beritahu pernah jumpa Dr Mahathir, tiada orang tahu,” kata Mohd Amar semasa ditemui media di sini hari ini.

 

Tambah beliau, pertemuan dan perbincangan bukan sesuatu yang pelik dalam arena politik melibatkan dua parti terbesar orang Melayu ini.

 

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob mengakui dinamik hubungan antara pentadbiran negeri pimpinan Pas dan Pusat diterajui Barisan Nasional telah wujud sekian lama.

 

“Sebab kerajaan negeri dan pusat memang wujud dalam perlembagaan, jadi dari segi hubungan kerajaan dengan kerajaan khusus dalam perkhidmatan dan tugas pada rakyat mesti ada,” kata Ahmad Yakob yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas.

 

Cuma, tambahnya, layanan kepimpinan kerajaan pusat terhadap Pas sejak era pasca pemerintahan Mahathir lebih baik berbanding dahulu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.