Syed Hamid Nafi Kenyataan Tony Tiket Pesawat Lebih Murah

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar menafikan kenyataan Pengerusi Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes bahawa tambang penerbangan adalah lebih murah berbanding Express Rail Link (ERL).

 

Tony melalui akaun Tweeter mengakui ERL merupakan perkhidmatan yang sangat baik tetapi mendakwa tambang sehala RM55 yang dikenakan adalah terlalu mahal.

 

Pengasas syarikat penerbangan tambang murah itu menyatakan bahawa kenaikan harga tersebut menjadikan tambang ERL seakan-akan lebih mahal berbanding tambang penerbangan.

 

Syed Hamid bagaimanapun mempertikai kenyataan Tony dan berpendapat bukan semua orang dapat menikmati tambang murah yang ditawarkan AirAsia.

 

Beliau berkata, orang ramai yang membeli tiket penerbangan AirAsia tetap perlu membayar harga yang mahal kerana tiket murah hanya ditawarkan kepada mereka yang membeli awal.

 

“Tambang murah AirAsia perlu ditempah tiga bulan lebih awal atau ditempah pada masa-masa tertentu sahaja.

 

“Jika anda membeli tiket di kaunter seminggu sebelum jadual penerbangan, saya tidak melihat anda berpeluang mendapat tiket tambang murah,” katanya kepada Sinchew Daily.

 

Walaupun tidak bersetuju dengan kenyataan Tony, Syed Hamid bagaimanapun menghormati tindakan Tony dalam mempromosikan tambang murah AirAsia.

 

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipetik berkata, pihak pengendali ERL boleh menaikkan tambang sehingga RM64 sehala seawal 2012 tetapi kerajaan tidak membenarkannya.

 

Menurut laporan Sinchew Daily, harga tiket perkhidmatan tren antara lapangan terbang Hong Kong ke pusat bandar adalah RM55.50 sehala sementara untuk tiket tren antara Lapangan Terbang Narita ke bandar Tokyo di Jepun adalah antara RM107 hingga RM164.50.

 

Harga tiket tren dari lapangan terbang ke pusat bandar Seoul, Korea Selatan adalah RM54; Beijing, China (RM16.70) dan Bangkok, Thailand (RM10).-MG

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.