Saya Dikhianati Pemain Sendiri, Kata Jose Mourinho

LONDON – Jose Mourinho mengakui dirinya merasakan ‘dikhianati’ oleh pemainnya sendiri apabila tewas 1-2 di tangan Leicester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

 

Ledakan Jamie Vardy dan Riyad Mahrez membolehkan anak buah Claudio Ranieri selesa di depan dan biarpun tandukan Loic Remy pada minit ke-77 merapatkan kedudukan, namun ia masih belum mampu menyelamatkan juara bertahan itu.

 

Sejurus kekalahan itu, pengurus Chelsea itu menegaskan pasukannya tidak mengikut arahan dan seakan masih dibuai mimpi dengan kejuaraan tahun lalu.

 

“Kami melepaskan dua gol dan saya sama sekali tidak boleh menerimanya. Saya tahu salah satu kualiti terbaik yang saya miliki ialah membaca perlawanan dan mengenalpasti setiap kelemahan lawan untuk memudahkan pemain saya,” kata Mourinho.

 

“Saya rasa seperti kerja saya dikhianati. Sukar buat kami untuk menjaringkan gol apabila kamu mempunyai pemain yang tidak berada di tahap terbaik.

 

“Apabila kamu memiliki beberapa pemain, terutama dalam keadaan genting, ia sesuatu yang sukar.

 

“Sukar. Musim lalu, saya melakukan kerja yang luar biasa dan saya bawa mereka ke satu tahap di mana lebih daripada mereka sepatutnya berada.” – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.