KJ Ikrar Pertahan Kadar Tol

Kuala Lumpur – Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan beliau akan mempertahankan Aku Janji BN untuk tidak menaikkan kadar tol ketika laporan mengenai kemungkinan itu disiarkan.

 

Menurut Menteri Belia dan Sukan itu, walaupun syarikat Plus Malaysia Berhad (Plus) dijangka menaikkan kadar bayaran tol, ia belum diputuskan kerajaan.

 

Justeru, kata Khairy, isu berkenana tidak perlu dispekulasi.

 

“Mengikut perjanjian, Plus berhak untuk minta kerajaan menyelaraskan kadar tol di lebuhraya mereka, tetapi ia belum diputuskan di peringkat parlimen dan kabinet.

 

“Saya telah bercakap dalam Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, bahawa ini (tidak menaikkan tol) adalah aku janji kita (Umno) pada pilihan raya lalu.

 

“Kadar tol lebuhraya antara bandar tidak boleh dinaikkan, malah akan diturunkan secara berperingkat-peringkat,” katanya pada sidang media selepas program The Legends Vision di Kuala Lumpur, hari ini.

 

Akan bersuara di parlimen

 

Dalam perhimpunan Umno yang berakhir Sabtu lalu, Khairy meminta kerajaan menghentikan kenaikan kadar tol bagi lebuh raya antara bandar sesuai dengan ikrar BN menjelang pilihan raya umum ke-13.

 

Kata Khairy rakyat kini sudah sedia terbeban dengan kenaikan bahan atau keperluan lain.

 

Plus pula dilaporkan sedang menunggu keputusan kerajaan untuk menaikkan kadar tol sebanyak lima peratus bermula Januari 2016.

 

Pengarah Urusan Plus, Datuk Noorizan Abd Hamid berkata, kenaikan itu selaras dengan perjanjian yang menetapkan kenaikan kadar tol sebanyak lima peratus setiap tiga tahun sekali bagi tempoh 2016 hingga 2038.

 

Khairy berkata, beliau akan membangkitkan perkara itu di parlimen supaya kenaikkan tol tersebut tidak berlaku.

 

“Di parlimen nanti saya dan rakan-rakan akan bersuara bahawa tol Plus ini tak sepatutnya dinaikkan.

 

“Plus baru sahaja hantar permohonan, kerajaan boleh tolak dan mungkin kerajaan perlu bayar pampasan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.