Kami Terhutang Budi Kepada Amy & Sabrina – Raja Zarith Sofiah

Kuala Lumpur – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat atas ucapan takziah dan kata-kata semangat yang diberikan berikutan kemangkatan puteranya, Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil, Sabtu lalu.

 

Menerusi kenyataan tersebut, baginda turut menzahirkan penghargaannya kepada dua insan istimewa, Amy dan Sabrina atas pengorbanan dan keikhlasan mereka menjaga anakandanya sejak Almarhum disahkan menghidap penyakit kanser setahun lalu sehinggalah kemangkatan Almarhum.

 

Dalam kenyataan itu juga, Amy dan Sabrina digambarkan sebagai pasangan yang cukup akrab dengan Tunku Jalil dan begitu rajin dalam menjaga kebajikan Almarhum.

 

“Keluarga kami sesungguhnya amat terhutang budi kepada Amy dan Sabrina.

 

“Setelah Almarhum menjalani pembedahan dan disahkan mempunyai kanser hati, mereka berpindah dan tinggal bersama kami, mengorbankan masa mereka bersama anak-anak mereka di rumah mereka sendiri, supaya mereka boleh membantu menjaga Almarhum.

 

“Mereka jugalah yang memastikan Almarhum mengambil semua ubat-ubatannya.

 

“Mereka jugalah yang tidur pada masa-masa yang tidak menentu kerana Almarhum akan santap pada lewat malam atau kadang-kadang, sebelum subuh.

 

“Mereka jugalah yang akan bersama Almarhum di semua hospital apabila Almarhum dimasukkan ke wad untuk menerima rawatan. Mereka jugalah yang berjalan bersamanya ke mana sahaja Almarhum berangkat.

 

“Mereka jugalah yang tahu pakaian mana yang Almarhum mahu gunakan, kasut yang mana, topi atau ‘beanie’ yang mana. Mereka jugalah yang mengemaskan biliknya Mereka tahu dimana barang barang berada,” kongsi baginda dalam entri di Facebooknya, hari ini.

 

Kesungguhan pasangan Sabrina dan Amy menjaga Almarhum terserlah apabila mereka menolak untuk mengambil cuti, meskipun disuruh oleh Raja Zarith.

 

“Walaupun saya kerap menyuruh mereka untuk mengambil cuti dan meluangkan masa bersama anak-anak mereka, mereka akan menolak dan mengatakan kepada saya bahawa anak-anak mereka dijaga dengan baik oleh kakak Sabrina.

 

“Mereka hanya sekali sekala akan keluar makan bersama anak-anak mereka apabila ada orang lain yang menemani Almarhum,” jelas baginda.

 

Tambah baginda lagi, pemergian Almarhum Tunku Jalil bukan sahaja dirasai oleh keluarganya, malah ia turut dirasai oleh Amy dan Sabrina.

 

“Ya, memang saya amat merasai keperitan kehilangan anak lelaki saya, namun, mereka juga merasai yang sama. Mereka juga menangis sepertimana keluarga kami menangis,” kata Raja Zarith.

 

Menurut Raja Zarith, jasa dan budi yang dicurahkan Amy dan Sabrina kerana sanggup kekal menemani Almarhum hingga akhir hayatnya tidak dapat dibalas oleh keluarga mereka.

 

“Maka, hari ini, saya mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana telah menjaga anak lelaki saya, menyanyangi nya, bersamanya siang dan malam, menegur nya bilamana mereka merasakan Almarhum telah melakukan kesilapan, mendengar pabila dia menceritakan sesuatu.

 

“Kami hanya dapat berdoa dan memohon agar Allah merahmati mereka berdua dengan kebahagiaan, kesihatan, dan kehidupan yang indah bersama keluarga mereka sendiri pada masa depan.

 

“Terima kasih, Amy & Sabrina,” kata baginda.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.