Belia Kristian Pertikai Peranan Polis

Persatuan Belia Kristian Malaysia hari ini mempersoalkan penglibatan polis pada sebuah seminar anti-Kristian yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabtu lalu, di mana seorang pegawai polis terlibat sebagai salah seorang pembentang kertas kerja.

 

Presidennya Pastor David Ngu berkata, penglibatan polis dalam seminar itu mengecewakan kerana bidang tugas pasukan itu ialah menjaga ketenteraman dan keselamatan negara, bukan berucap di dalam forum seperti itu.

 

Seminar itu mengelirukan orang ramai kerana ia didakwa menyatakan masyarakat Kristian merupakan ancaman kepada negara dan ini boleh merosakkan hubungan antara agama, katanya.

 

“Sejak penubuhan Malaysia, orang Kristian bekerjasama rapat dengan penganut agama lain untuk Malaysia yang lebih baik.

 

“Bagaimana pula sekarang orang Kristian dianggap ancaman kepada negara?” soal Ngu dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ngu berkata, kebebasan beragama untuk semua rakyat Malaysia jelas dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan falsafah negara Rukunegara.

 

Hakikat yang seminar itu diadakan begitu hampir dengan sambutan Krismas juga dianggap tidak menghormati penganut agama itu, katanya.

 

Sabtu lalu, UiTM mengadakan sebuah seminar bertajuk “Ancaman Gerakan Pemurtadan Kristianisasi” di kampus Lendu, Melaka, yang dilaporkan melibatkan pembentangan kertas kerja oleh seorang pegawai Cawangan Khas dari Bukit Aman.

 

Tahun lepas, UiTM Shah Alam mengadakan seminar mengenai penggunaan perkataan “Allah” dan Kristologi di mana hadirin dimaklumkan, paderi Kristian yang menyamar dihantar ke Malaysia untuk menarik orang Islam kepada ajaran agama tersebut dan memurtadkan mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.