39,000 Murid Dapat Bantuan Yayasan Pelajaran MARA

BUKIT MERTAJAM – Seramai 39,000 murid sekolah rendah di seluruh negara mendapat bantuan daripada Yayasan Pelajaran Majlis Amanah Rakyat (Mara) sepanjang tahun ini.

 

Ketua Pengarah Eksekutifnya, Datuk Abdul Karim Mustafa berkata, bantuan itu merangkumi pakaian serta peralatan persekolahan bertujuan mengurangkan bebanan yang ditanggung ibu bapa.

 

Menurut beliau, pada tahun ini, sebanyak RM15 juta juga dibelanjakan yayasan berkenaan untuk memberi bantuan kepada pelajar melalui pelbagai skim pendidikan Mara.

 

“Dalam masa sama, kita juga mengalu-alukan syarikat korporat atau syarikat milik kerajaan (GLC) yang ingin bekerjasama dengan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) untuk menyalurkan bantuan.

 

“Malah, jika mereka mahu memberikan zakat perniagaan, kita juga berbesar hati kerana manfaatnya akan dinikmati pelajar,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pakaian sekolah kepada 500 pelajar di sini semalam.

 

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

 

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, syarikat korporat tidak perlu bimbang kerana Mara mempunyai pangkalan data pelajar yang memerlukan bantuan disebabkan pihaknya bekerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah di setiap negeri.

 

“Sebelum ini, Maybank Islamic telah bekerjasama dengan YPM akan menyalurkan RM2.8 juta untuk melaksanakan program bantuan persekolahan,” katanya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.