Saham MAS Digantung

Kuala Lumpur – Malaysia Airlines Bhd (MAS) hari ini mengumumkan saham dagangan di Bursa malaysia akan digantung selama tiga hari mulai hari ini.

Menurut MAS ia merupakan tindakan susulan pelan pemulihan bagi syarikat penerbangan nasional itu bagi pengurangan dan pembayaran balik modal secara terpilihnya (SCR).

“Di bawah SCR, pemegang saham biasa MAS, selain Khazanah Nasional Bhd, yang namanya tercatat pada rekod pendeposit syarikat setakat pada 5 petang pada 19 Dis, akan layak untuk menerima amaun tunai 27 sen bagi setiap saham MAS,” menurut syarikat penerbangan itu dalam kenyataan kepada bursa tempatan pada 4 Dis.

MAS berkata pembayaran balik modal dijangka dibuat dalam tempoh 10 hari dari tarikh kelayakan.

Dagangan saham itu dihentikan sehingga selesai SCR dan penyahsenaraian seterusnya MAS daripada senarai rasmi Bursa Malaysia, katanya.

Saham MAS diniagakan kali terakhir pada Jumaat, 12 Dis, ditutup turun setengah sen kepada 26.5 sen dengan 70.914 juta saham diniagakan.

Khazanah Nasional, cabang pelaburan kerajaan dan pemegang saham tunggal terbesar dalam MAS, mengambil alih pucuk pimpinan syarikat itu dengan tujuan memulihkan syarikat penerbangan nasional itu menerusi penstrukturan semula korporat, termasuk diswastakan dan menubuhkan sebuah entiti baharu dikenali Malaysia Airlines Bhd (MAS NewCo).

Khazanah turut melantik Christoph R Mueller sebagai bakal Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu MAS NewCo, berkuat kuasa 1 Jan, 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.