‘Plastic Rain-Shelter’ Antara Punca Banjir Lumpur Di Cameron Highlands

Oleh: Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

Cameron Highlands – Di samping masalah kerakusan pencerobohan tanah di Cameron Highlands, kaedah pemasangan struktur pelindung hujan ‘Plastic Rain-Shelter’ yang tidak sesuai oleh pekebun juga antara faktor merangsang kejadian banjir lumpur.

Pemasangan ‘Plastic Rain-Shelter’ oleh pekebun dalam skala besar tanpa reka bentuk yang sesuai terutamanya di lereng bukit, dikatakan menyebabkan air hujan yang mengalir ke sungai menjadi lebih deras dan banyak serta menyebabkan hakisan.

Perkara itu turut dipersetujui oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar penyelidik alam sekitar dan pekebun sendiri bahawa pemasangan ‘Plastic Rain-Shelter’ perlu mempunyai sistem reka bentuk yang sesuai di kawasan lereng bukit.

‘Plastic Rain-Shelter’ atau lebih dikenali sebagai rumah plastik yang mempunyai reka bentuk hampir sama dengan rumah hijau berfungsi untuk mengurangkan kadar kelembapan hasil tanaman dan menghasilkan produk tanaman yang lebih berkualiti.

Kajian dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) menyatakan kadar aliran air meningkat di kebun yang menggunakan ‘Plastic Rain-Shelter’.

Hasil kajian berjudul ‘Sustainability of Current Agricultural Practices in the Cameron Highlands’ (Kemampanan Amalan Pertanian Masa Kini Di Cameron Highlands) pada 2005 itu mengemukakan dapatan, berlakunya peningkatan aliran air di ladang kebun bunga yang menggunakan ‘Plastic Rain-Shelter’ berbanding ladang sayur yang tidak menggunakannya.

Malah sekiranya hujan lebat berlaku, ladang kebun bunga dilihat menyumbangkan banjir lumpur berbanding ladang kebun sayur.

Dalam kajian itu Mardi menyatakan pemasangan ‘Plastic Rain-Shelter’ mestilah dibina sesuai dengan keadaan muka bumi, dan air larian pintas yang berlebihan mestilah diurus dengan cekap, untuk mengelakkan tanah runtuh dan hakisan di tebing sungai.

Namun, pemasangan ‘Plastic Rain-Shelter’ kini bukan hanya tertumpu kepada ladang kebun bunga di sini malah kebun sayur turut menggunakannya.

Sementara itu, Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Abdull Rahim Mohd Yusoff berkata terdapat kemungkinan pemasangan ‘Plastic Rain-Shelter’ di lereng-lereng bukit dalam skala yang besar boleh merencatkan proses kitaran air semulajadi.

Katanya, adalah normal apabila hujan, sebahagian daripada air hujan akan menyerap ke dalam tanah, akan tetapi, apabila sesuatu kawasan besar dilindungi dengan pelindung plastik, maka kadar serapan air hujan akan berkurangan.

Abdull Rahim berkata air hujan yang terkumpul dari atap plastik ini biasanya akan disalurkan ke parit yang seterunya mengalir terus ke sungai.

“Jika berlaku keadaan hujan lebat pada satu masa tertentu, kuantiti aliran air permukaan akan bertambah banyak dan alirannya juga akan bertambah laju.

“Jika air permukaan ini tidak diuruskan dengan betul alirannya, ia akan menghakis parit-parit dan tebing-tebing sungai dan memungkinkan berlakunya banjir lumpur,” katanya.

Naib Presiden Persatuan Kebun Bunga Cameron Highlands, Wong Seng Yeen berkata kebanyakan pengusaha kebun kini memasang ‘Plastic Rain-Shelter’ untuk menghasilkan produk tanaman lebih berkualiti.

Katanya, melalui ‘Plastic Rain-Shelter’ ia boleh mengurangkan kadar pertumbuhan fungus pada produk tanaman, mengurangkan kadar penggunaan racun serangga dan meningkatkan hasil pengeluaran produk yang baik dan banyak.

Namun, beliau juga tidak menafikan bahawa pada musim hujan lebat, kebun yang menggunakan ‘Plastic Rain-Shelter’ telah menyumbangkan aliran di sungai semakin deras ekoran air yang tertakung di atas atap plastik terus dialirkan ke sungai.

“Kebun orkid saya juga menggunakan Plastic Rain-Shelter kerana ia membantu menghasilkan bunga orkid berkualiti lebih baik, tetapi pada masa sama saya juga sedar tentang kesan negatif menggunakan stuktur pelindungan hujan ini dan sebab itu saya pasang sistem penuaian air hujan.

“Dengan ini saya dapat meminimumkan aliran air dan juga menggunakan air hujan untuk menyiram pokok bunga orkid saya,” kata Wong.

Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) R. Ramakrishnan, menggesa pihak-pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Pertanian dan Jabatan Pengairan Dan Saliran untuk memantau semua kebun yang menggunakan ‘Plastic Rain-Shelter’ terutamanya di lereng bukit.

Katanya, sebilangan besar pengusaha kebun yang memasang ‘Plastic Rain-Shelter’ ini tidak merujuk terlebih dahulu kepada jabatan yang bertanggungjawab tentang reka bentuk sistem yang sesuai untuk dipasang di kebun mereka.

“Dia buat ikut suka hati dia orang, sepatutnya semua kebun ini perlu mengambil kira kecerunan kebun dia dan berjumpa dengan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk ketahui kaedah terbaik memasang ‘Plastic-Rain Shelter’.

“Sepatutnya air hujan ini, bila pasang ‘Plastic-Rain Shelter’ tidak boleh terus mengalir ke sungai, kalau waktu hujan lebat air yang mengalir terus ke sungai akan menjadi lebih deras dan hakisan tebing sungai akan berlaku dan hakisan ini akan dibawa sampai ke empangan dan mendap di situ,” kata Ramakrishnan.

Malah beliau juga mendakwa antara punca Empangan Hidroelektrik Sultan Abu Bakar dipenuhi enapan adalah disebabkan kebun-kebun yang memasang ‘Plastic Rain-Shelter’ tanpa menggunakan reka bentuk yang sesuai.

Dalam kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Cameron Highlands 5 Nov lepas, lima mangsa terkorban manakala lima lagi cedera. Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.