Percutian Bertukar Tragedi : Cuba Selamatkan Adik, Abang Yang Tekorban Disedut Pusaran Air Terjun

Jasin – Kegembiraan tiga sekeluarga bercuti dan bermain air terjun di Asahan dekat sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas disedut pusaran air, semalam.

Dalam kejadian jam 10.20 pagi itu, mangsa, Muhammad Khidil Ismaet Anuar, 25, dikatakan cuba menyelamatkan adik bongsunya, Muhammad Aliff Najmi, 13, yang tergelincir ke dalam kawasan air terjun terbabit.

Muhammad Aliff berkata, sebelum kejadian dia bersama abang dan kakak iparnya, Syakila Zakaria, 26, tiba di kawasan perkelahan itu untuk bermandi-manda kira-kira jam 9 pagi.

Katanya, mereka sekeluarga termasuk arwah yang juga kakitangan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Kuala Lumpur tiba di kampung mereka di Bekoh, Johor, untuk bercuti petang kelmarin.

Pijak batu licin

“Pagi tadi (semalam), Abang Lang (Mohd Khidil) beriya-iya mengajak saya pergi mandi bersamanya di Air Terjun Asahan.

“Ketika mandi, saya tergelincir akibat terpijak batu licin lalu terjatuh ke kawasan dalam, sebelum meminta pertolongan. Abang kemudian terjun menyelamatkan saya dengan menolak ke tebing,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tangkak dekat sini.

Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai, Kuala Lumpur ini berkata, ketika kejadian dia sempat melihat abangnya terkapai-kapai sebelum tenggelam disedut pusaran air.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Johari Masum, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10.25 pagi.

“Seramai 14 anggota termasuk pegawai dan unit skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan dan tiba pada jam 11.10 pagi.

“Mangsa berjaya ditemui pada jam 12.08 tengah hari di lokasi air yang dilaporkan lemas dan mayatnya dihantar ke Hospital Tangkak,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan.

Difahamkan, jenazah mangsa akan dikebumikan di kampung neneknya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bekoh, Tangkak di sini. -Berita Harian 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.