PDRM Buka Kertas Siasatan 1MDB – Ahmad Zahid

Kuala Lumpur – Kertas siasatan ke atas syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan dibuka bagi meneliti laporan polis yang dibuat Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya juga sudah meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan prosedur siasatan biasa selepas kertas berkenaan dibuka kelak.

“Laporan polis sudah dibuat, jadi polis akan membuat prosedur siasatan,” katanya semasa sidang media selepas Persidangan PJP/KP/KOMANDER dan KOMANDEN 2014 di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.

Ujarnya, laporan yang dibuat Khairuddin bersifat peribadi dan tidak melibatkan parti UMNO.

“Tidak ada kena mengena dengan parti Melayu, UMNO. Ia laporan peribadi Khairuddin sendiri kepada 1MDB,” jelasnya.

Pada Jumaat, Khairuddin membuat laporan polis dan meminta siasatan terperinci dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah kepincangan pentadbiran kewangan yang dihadapi 1MDB.

Pada Ahad, Khairuddin turut menyifatkan pemimpin UMNO sebagai bacul dan terlampau takut untuk membangkitkan isu tentang masa depan dan risiko sebenar yang dihadapi 1MDB.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjelaskan tindakan Khairuddin sentiasa tertakluk kepada etika parti.

Bagaimanapun Reezal memaklumkan, UMNO Pulau Pinang tidak akan terburu-buru untuk mengambil tindakan ke atas Khairuddin yang membuat laporan polis terhadap 1MDB.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini dilapor turut mendesak Khairuddin untuk menarik balik laporan polisnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.