Occupy UM8: Pelajar Pasang Dalam Kampus Mulai Hari Ini

Kuala Lumpur – Dalam usaha untuk memberi lebih tekanan kepada pihak Universiti Malaya (UM), penganjur “Occupy UM8” akan memindahkan lokasi perhimpunan ke dalam kampus mulai hari ini.

Ia ekoran selepas lima hari melakukan protes di pintu pagar utama universiti terbabit, pihak universiti dikatakan tidak mengendahkan tuntutan mereka.

Bermula pada jam 8.30 pagi, pihak penganjur akan mula berhimpun dari lokasi sekarang ke Bangunan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Kompleks Perdana Siswa UM.

“Tuntutan kita agar pihak pentadbiran membatalkan hukuman kepada UM8 langsung tidak mendapat respon pihak pentadbiran UM.

“Atas semangat cintakan kebenaran dan demi memulihkan demokrasi kampus, Occupy UM8 mengumumkan kami bersama dengan mahasiswa yang lain akan meneruskan Occupy di Bangunan HEP UM,” kata koordinator ‘Occupy UM8’ Wan Nur Syamimi, pada malam Ahad.

Tambahnya, mereka akan terus mendesak agar pihak pentadbiran UM khususnya HEP membatalkan hukuman yg telah dikenakan terhadap UM8.

Sementara itu, pada malam Ahad hampir 100 mahasiswa berhimpun untuk hari ke-5 ‘Occupy UM8’.

Antara yang memberi ucapan adalah peguam Michelle Yesudas dan aktivis Adam Adli.

Secara amnya, mereka memuji inisiatif para mahasiswa untuk hadir dan menyokong ‘Occupy UM8’.

“Kita perlu percaya dengan apa kita perjuangkan. Kalau kita tidak buat apa-apa, perubahan tidak akan berlaku,” kata Adam.

UM8 ialah kumpulan terdiri daripada lapan mahasiswa yang didakwa dan dijatuhkan hukuman oleh pihak universiti kerana terlibat dalam satu penganjuran perhimpunan haram pada Oktober lepas.

Penganjuran ‘Occupy UM8’ sejak 10 Disember oleh Mahasiswa UM ialah sebagai tanda solidariti penuh kepada UM8 agar pihak universiti menggugurkan hukuman terhadap mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.