Ilmu Silat Dapat Atasi Jenayah Siber

Kuching – Menteri Perumahan Sarawak, Datuk Amar Abang Haji Johari Tun Openg berfikiran bahawa ilmu persilatan mampu mengatasi penularan jenayah siber.

Ini kerana beliau percaya bahawa disiplin yang tinggi yang ditekankan kepada semua pengamal persilatan mampu menahan seseorang melakukan jenayah siber.

“Saya percaya ilmu persilatan boleh dijadikan pendekatan untuk tujuan tersebut mengambil kira elemen pengutamaan tahap disiplin yang sentiasa ditekankan kepada setiap pengamal ilmu persilatan,” kata beliau ketika berucap merasmikan Pesta Rumpun Silat Sarawak di Dewan Masyarakat Kampung Tunku, Jalan Astana di sini, malam tadi.

Sehubungan itu beliau meminta agar semua persatuan silat supaya menerapkan nilai-nilai disiplin yang tinggi terhadap anak murid mereka.

“Kalau mereka berdisiplin ia akan dapat menghindar diri mereka daripada terjebak melakukan jenayah termasuk jenayah siber,” katanya.

Presiden Rumpun Silat Sarawak (RSS), Muhd Haneef Ali berkata tujuan penganjuran Pesta RSS yang membabitkan 10 perguruan dengan pelbagai pecahan seni itu bertujuan menjadikan silat tradisi sebagai satu daripada acara masyarakat selain mengeratkan hubungan antara perguruan silat.

Selain itu, beliau berharap ia dapat memperkenalkan dan menarik minat golongan belia untuk berkecimpung dalam seni kemahiran silat pada masa depan.

Abang Johari turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada Perguruan Silat Helang Putih bagi membantu persatuan itu membina dewannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.