Anwar Kata Hudud Kelantan Akan Timbulkan Banyak Masalah

Kuala Lumpur – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata rancangan kerajaan pimpinan PAS di Kelantan mahu meminda Rang Undang-Undang Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (EKJS II) 1993 berkaitan hukum Hudud di Dewan Undangan Negeri (DUN) akan bermasalah kerana ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam di negeri itu.

“Akan ada banyak masalah kerana anda perlu meminda undang-undang Persekutuan. Mereka tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan (hudud),” kata Anwar ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin.

“Katakan mereka buat juga. Siapa yang akan membuat tangkapan? Siapakah yang akan membawa mereka (suspek) ke penjara? Ia bukan dalam kuasa mereka (kerajaan negeri). Oleh itu, terdapat banyak masalah,” tegas Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Semalam, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan PAS Kelantan telah menetapkan 29 Disember ini untuk mengadakan sidang sidang khas DUN bagi membentangkan pindaan kepada EKJS II 1993.

Ahmad berkata ia adalah sebahagian daripada prosedur kerajaan negeri untuk membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen pada 2015 untuk membolehkan Kelantan menguatkuasakan hudud.

Pilihan itu dibuat kerana merujuk kepada Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan, iaitu kerajaan Persekutuan melalui kebenaran Parlimen boleh memberi kuasa kepada kerajaan negeri melaksanakan undang-undang tersebut di Kelantan, katanya.

Pindaan berkenaan memerlukan sokongan dua pertiga ahli DUN dan beliau berharap semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu akan mengambil bahagian dalam sidang DUN Khas 29 Disember nanti.

Bagaimanapun, DAP telah berulang kali menuntut PAS menangguhkan rancangannya di Kelantan, menyatakan undang-undang jenayah Islam yang kontroversi bukan sebahagian daripada rangka kerja dasar bersama Pakatan Rakyat.

Malah semalam Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sekali lagi menggesa pimpinan Pakatan Rakyat (PR) mengeluarkan ketetapan untuk tidak melaksanakan Hudud.

Anwar selanjutnya berkata pada Isnin, mereka (pimpinan PR) masih tidak tahu mengenai butiran pindaan enakmen yang hendak dibuat kerajaan Kelantan itu, tetapi pemimpin PAS telah berjanji untuk memberikan maklumat itu.

“Dalam kata sepakat yang kami capai pada tahun 2010, kita bersetuju apa-apa langkah-langkah baru perlu dibincangkan dalam PR.

“Tetapi kita juga bersetuju apa-apa langkah yang telah diambil sebelum ini (sebelum kewujudan PR) termasuk yang diambil oleh Kelantan perlu dihormati.

“Jadi, saya tidak tahu tentang peruntukan ini apakah sama dengan apa yang telah diluluskan sebelum ini yang juga memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan,” kata Anwar sambil menambah bahawa PR akan mengkaji rang undang-undang EKSJ II itu sebelum membuat apa-apa keputusan mengenainya.

Sebelum ini, kerajaan Kelantan sudah menubuhkan satu jawatankuasa teknikal mengenai Hudud yang mengumpulkan semua kumpulan pakar mengenai undang-undang itu termasuk para peguam sivil.

Kerajaan pusat juga telah menubuhkan jawatankuasa yang sama di peringkat pusat dengan diketuai oleh Ketua Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara.

Sehingga kini, tujuh mesyuarat telah diadakan iaitu lima di peringkat negeri dan dua di peringkat pusat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.