2.9 Juta Pekerja Asing Di Malaysia Tidak Sah

Kuala Lumpur – Sebanyak 2.9 juta atau separuh daripada keseluruhan 5.8 juta pekerja asing di negara ini tidak mempunyai dokumen yang sah, kata Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Abdul Halim Sidek.

Menurutnya, kebanjiran pekerja asing tanpa izin (PATI) di negara ini berpunca daripada kelemahan penguatkuasaan serta dasar liberal yang sentiasa berubah-ubah mengikut keperluan.

Beliau berkata, polisi seperti dasar mesra pelancong dan dasar pendidikan antarabangsa memberi ruang kepada mereka untuk masuk ke negara ini menggunakan pas lawatan atau visa pelajar untuk bekerja dan tinggal lebih masa.

“Institusi pengajian tinggi yang bertambah seperti cendawan tumbuh selepas hujan tanpa pemantauan berkesan banyak digunakan sebagai ‘kenderaan’ oleh pekerja asing untuk masuk ke negara ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Impak pekerja asing kepada kesejahteraan politik dan keselamatan negara’ pada Persidangan Dilema Negara: Isu dan Cabaran Pekerja Asing di Malaysia, anjuran Majlis Profesor Negara (MPN), di sini, Isnin.

Justeru, Abdul Halim mencadangkan agar kerajaan mewujudkan satu dasar pekerja asing kekal, yang lebih komprehensif atau institusi berbentuk kekal bagi mengawal pekerja asing.

“Aktiviti penguatkuasaan juga memerlukan pendekatan bersepadu atau perkongsian antara semua agensi terlibat dan elakkan sifat ‘territorial’,” katanya.

Beliau berkata, langkah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing masih gagal berikutan sumbangan mereka kepada negara terutama dari segi mengurangkan kos buruh, meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan meningkatkan eksport negara.

Bagaimanapun, katanya usaha mengurangkan jumlah pekerja asing secara berperingkat perlu dilakukan agar mereka tidak menjadi liabiliti berpanjangan kepada negara.

“Usaha ini mesti dibuat secara berperingkat supaya sektor utama seperti perindustrian, perladangan dan pembinaan tidak terjejas dan pada masa sama, jumlah mereka tidak mengancam keselamatan negara,” jelasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.