Lelaki maut disumpit

JERANTUT: Seorang lelaki Orang Asli ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian menyumpit seorang lelaki warga emas sehingga maut, dalam satu kejadian di Kampung Bangkong, dekat sini Jumaat lepas.

Suspek Orang Asli itu dikenali sebagai “Dolah” itu kini ditahan di ibu pejabat Polis Daerah Jerantut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail dalam kejadian itu mangsa Harun Mat Bakar, 79, mati akibat racun daripada damar (peluru sumpit) yang mengenai bahagian muka, leher dan bahu kirinya.

“Pada hari kejadian, mangsa yang pulang ke rumahnya di Felda Sungai Tekam Utara di sini pada jam 7.10 malam, memberitahu isteri dan anaknya yang dia telah disumpit,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sebelum rebah, mangsa sempat memberitahu keluarganya yang dia telah disumpit oleh seorang lelaki bernama “Dolah”.

“Mangsa bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital itu,” katanya.

Azid berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat kesan racun.

“Doktor mengesahkan terdapat kesan kecederaan kecil di bahagian muka, leher dan bahu kiri mangsa. Doktor mengesyaki mangsa mati akibat racun yang disumpit,” katanya.

Beliau berkata suspek, 48, berjaya diberkas hari ini di rumahnya di Kampung Bangkong, dekat sini.

Pihak polis turut merampas barangan kes seperti sumpit dan damar.

“Suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini, motif kejadian masih disiasat,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.