Sering Buat Kenyataan Bercanggah, Azmin Perosak Sebenar PKR – Ketua Pemuda PKR

PETALING JAYA – Ketua Pemuda (AMK) PKR, Akmal Nasir menafikan wujudnya tangan ghaib mendorong sayap itu membatalkan jemputan Timbalan Presidennya, Azmin Ali sebagai perasmi pada Kongres Nasional Pemuda PKR bulan depan.

Sebaliknya Akmal mendakwa sikap Azmin tidak hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Biro Politik selama setahun serta sering mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan parti sebagai “tangan ghaib” yang merosakkan PKR.

“Walaupun saya cuba sebaiknya menguruskan isu ini dengan mengekalkan perbincangan secara dalaman dan tidak mengheret media, ternyata beliau (Azmin) tidak lagi ada rasa hormat kepada parti dan perjuangan.

“Kegagalan beliau untuk hadir ke mesyuarat parti MPP atau Biro Politik selama setahun dan seringkali mengeluarkan kenyataan dilihat bercanggah dengan disiplin parti dan semangat Pakatan Harapan (PH) merupakan tangan ghaib sebenar yang merosakkan PKR.

“Jika beliau menganggap kekuatan seseorang pemimpin itu wujud dengan memulaukan mesyuarat parti dan tidak mempunyai disiplin organisasi, pemimpin tersebut tidak lagi memiliki ciri-ciri seorang pemimpin PKR,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Azmin ketika mengulas soal tindakan Pemuda PKR membatalkan jemputan sebagai perasmi menyifatkan wujud tangan ghaib yang mendorong Akmal bertindak demikian.

Dalam pada itu, menurut Akmal, jemputan telah dibuat kepada Azmin, namun menteri hal ehwal ekonomi itu sendiri gagal memberi jawapan selepas tempoh enam minggu.

“Saya merujuk kenyataan dibuat Azmin hari ini dan ternyata kepimpinan Pemuda PKR telah membuat keputusan tepat serta terbaik untuk memastikan kelangsungan Kongres Nasional Pemuda PKR dengan menjemput Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai perasmi.

“Mesyuarat Majlis Pimpinan pada 20 Okt 2019 membatalkan jemputan kepada Azmin adalah sebab kelemahannya sendiri untuk memberi jawapan selepas diberi tempoh selama enam minggu di mana surat jemputan bertarikh 11 Sept 2019,” katanya.

Katanya, kongres nasional itu merupakan platform menyuarakan isu-isu demi kepentingan rakyat, terutamanya anak muda termasuk pendidikan, peluang pekerjaan serta kos sara hidup, bukannya isu politik kelompok yang berkepentingan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!