Wajarkah Larangan Merokok Di Restoran Diwartakan?

GEORGETOWN: Larangan merokok di restoran menghangatkan sesi soal jawab lisan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang apabila beberapa wakil rakyat kerajaan negeri mempersoalkan pelbagai kelemahan mengenai pewartaan isu berkenaan.

Susulan larangan itu, H’ng Mooi Lye (PH-DAP-Jawi) mempertikaikan sama ada pengendali restoran dibenarkan menjual rokok di dalam premis masing-masing.

Selain itu, beliau mempersoal sama ada pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mensyaratkan pemilik atau pengendali restoran mewujudkan ruangan tertutup untuk perokok.

“Berkenaan penjualan rokok di kedai makan, adakah PBT akan mensyaratkan larangan menjual rokok kepada pemilik atau pengendali premis berkenaan?

“Bagi saya situasi ini sangat sarkastik apabila kita beri mereka (pengendali atau pemilik restoran) jual rokok tetapi kawasan itu tidak boleh merokok,” katanya ketika mengajukan soalan tambahan.

EXCO Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin menjelaskan pihaknya tidak maklum sama ada larangan sedemikian akan dikeluarkan ke atas pengendali atau pemilik restoran.

“Saya tak ada jawapan tepat bagi isu ini, tetapi ada sahaja banyak kedai jual kondom. Bagaimanapun, kita tidak pula ‘buat’ kat situ pun.

“Bagi ruangan khas pula, dalam pengumuman kementerian tiada kawasan atau ruangan khas akan dibuat bagi perokok. Hanya kawasan khas di luar restoran akan diwartakan sebagai tempat merokok.

“Matlamat ini adalah untuk mengubah semua kawasan sebagai kawasan larangan merokok, kecuali beberapa lokasi tertentu sahaja,” katanya.

Lee Khai Loon (PH PKR-Machang Bubuk) kemudian bangun dan mempersoal mengenai penguatkuasaan larangan itu apabila bilangan kakitangan penguat kuasa dikatakan tidak mencukupi.

“Dalam kes denggi pun masih banyak kelemahan daripada aspek penguatkuasaan. Bagaimana kita mahu pastikan penguatkuasaan yang baik dapat dijalankan dalam isu larangan merokok ini?” katanya.

Menjawab soalan itu, Dr Afif mengakui kelemahan itu sudah pun dikenal pasti, selain sudah mengesyorkan kepada Menteri Kesihatan untuk menurunkan kuasanya kepada penguat kuasa PBT.

“Bagaimanapun, ada beberapa isu berbangkit dalam hal ini. Antaranya, kompaun yang akan dikenakan nanti. Adakah ia akan masuk kepada PBT atau disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan dengan perbincangannya sedang dijalankan,” katanya. – BERITA HARIAN

One thought on “Wajarkah Larangan Merokok Di Restoran Diwartakan?

  • November 15, 2018 at 2:30 pm
    Permalink

    Isu remeh temeh kecuh apa hal?? Rokok diluar habis ceta?
    yg penting skrg pulih ekonomi yg tak tentu hala?? Apa kepuh sgt?? Bodoh buta kayu?? Mcm tk standard matang nk besar2 isu kecil?? Apa la malu weh?? Byk isu besar Pati.rasuah.sosial.jenayah. tu tk kepuh2 pula?? Basikal lajak. Exzos bising.!! Pati sepah2 ?? Jual aiskrim.driver lori.roda tiga.karpet.berniaga!! Apa tk sibuk??makrib sintok??

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.