VIDEO: Program 1 Million #crazyonrecyle Budayakan Amalan Kitar Semula, Sasar Sejuta Penyertaan

Oleh: Shuhaniza Said

CYBERJAYA – Tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan amalan 3R (Reduce, Reuse dan Recycle) dalam menguruskan sisa pepejal pada ketika ini sudah menunjukkan sedikit peningkatan, namun ia masih dalam kategori yang rendah jika dibandingkan dengan negara-negara maju yang lain.

Justeru, bersempena dengan sambutan Hari Kitar Semula Kebangsaan 2018 (HKSK2018), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), badan yang dipertanggungjawabkan menguruskan sambutan berkenaan mengajak orang ramai untuk menyertai Program 1 Million #crazyonrecycle bagi membudayakan amalan kitar semula di kalangan masyarakat.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Teknikal) SWCorp, Dr Mohd Pauze Mohamad Taha, Program 1 Million #crazyonrecycle merupakan aktiviti pengumpulan barangan kitar semula yang menyasarkan seramai sejuta penglibatan masyarakat di seluruh negara dalam tempoh bermula 15 November sehingga 20 November.

“Ini satu program yang baru kita perkenalkan tahun ini, di mana bermula 15 November sehingga 20 November, kita lancarkan program 1 Million #crazyonrecycle di mana kita berhasrat dalam tempoh lima hari itu, kita nakkan penglibatan sejuta rakyat Malaysia yang mengamalkan kitar semula.

“Kita ada kaedahnya bagaimana nak mengira, di mana mereka perlu memuat naik gambar mereka bersama barangan kitar semula ke Instagram dan Twitter. Melalui gambar itu, kita akan jumlahkan dan kita harap dapat capai sasaran. Kita pun sedang giatkan kempen dan kita yakin dapat capai sasaran. Kerana umpamanya, kita sememangnya mempunyai lebih 2,000 buah sekolah yang kita ada engagement dengan mereka. Setiap sekolah ada lebih kurang 500 ke 1,000 pelajar,” katanya kepada pemberita.

Bagi menyertai program ini, orang ramai hanya perlu mengumpul barangan kitar semula, jual atau hantar barangan kitar semula di tong kitar semula atau pusat kitar semula berdekatan, dan memuat naik maklumat yang diperlukan.

Langkah terakhir, peserta perlu memuat naik gambar swafoto bersama barangan kitar semula di laman sosial sama ada Facebook, Instagram atau Twitter dengan meletakkan tanda pagar #crazyonrecycle sebelum tarikh tutup iaitu 20 November.

Pemenang bertuah akan memenangi telefon pintar HUAWEI P20 yang akan disampaikan ketika sambutan HKSK2018 pada 1 Disember bertempat di Pantai Eco Park, Kuala Lumpur.

1 Million #crazyonrecycle merupakan salah satu program ‘Road To HKSK2018’ iaitu program yang disusun sebelum kemuncak HKSK2018.

Beberapa program ‘Road To HKSK2018’ adalah seperti Pertandingan Kitar Semula Sekolah-sekolah Peringkat Kebangsaan (PerKISS) yang berlangsung bermula Januari hingga Ogos, dan Waste To Art Competition iaitu penghasilan karya berasaskan barangan terbuang. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.