PTPTN: Kaedah Baharu Pembayaran Hutang Diumum Bulan Depan

IPOH: Kaedah pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan diumumkan bulan depan, kata Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan.

Katanya, pengumuman itu akan memperincikan pembayaran balik berdasarkan potongan gaji dan pelepasan cukai pendapatan individu bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu maklumat terperinci sebelum merangka kaedah pelaksanaan, selepas pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai peruntukan dan dasar baru pinjaman PTPTN dalam Bajet 2019 baru-baru ini.

“Saya rasa apabila (peminjam PTPTN) mendengar pengumuman itu nanti, mereka akan nampak macam mana caranya (untuk membayar balik pinjaman).

Wan Saiful ditemui pemberita selepas menganggotai panel jemputan Seminar Pemerkasaan Integriti Perak anjuran Institut Integriti Malaysia dengan kerjasama pejabat setiausaha kerajaan Perak yang dirasmikan Menteri Besarm Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di sini, hari ini.

Wan Saiful berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan masyarakat setempat bagi mendapatkan maklum balas mengenai kaedah pelaksanaan pinjaman itu.

“Mereka yang mementingkan prinsip kebertanggungjawaban (membayar balik pinjaman), saya rasa itu adalah berita baik bagi mereka yang nak membantu para pelajar pada masa akan datang kekal mendapat pinjaman daripada PTPTN.

“Bagaimanapun, ada mereka yang sengaja mahu mempolitikan isu ini. Kita sudah berterus terang tidak mampu lakukan (penangguhan bayaran balik pinjaman) disebabkan masalah (hutang) yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.” – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.