PH Disaran Contohi Kerajaan BN Tangani Isu ICERD – Abdul Hadi

MARANG – PAS menyarankan kerajaan mencontohi langkah bijaksana ditunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam menangani isu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata tiada keperluan bagi ICERD diwujudkan di Malaysia kerana Perlembagaan Persekutuan sudah menjamin kebebasan beragama dan hak untuk semua kaum.

Katanya, Islam yang ada dalam Perlembagaan memberi ruang lebih baik dan adil kepada semua kaum daripada ICERD.

“Kita mengharapkan Kerajaan Pusat mengambil langkah bijaksana untuk menangani masalah ini sebagaimana yang ditunjukkan oleh kerajaan lalu sejak mencapai kemerdekaan pada 1957 hingga hari ini,” katanya ketika ditemui Majlis Perasmian Madrasah Darul Iman, di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, konsep ICERD adalah untuk mengawasi dan bertindak terhadap orang Islam supaya penganutnya tidak bebas.

“Konsep ICERD adalah untuk mengawasi dan bertindak terhadap umat Islam supaya kita tidak bebas. Sasaran mereka adalah Islam bukannya agama lain,” katanya.

PAS sebelum ini memberi amaran kepada kerajaan untuk mengerahkan jutaan rakyat turun ke jalanan jika kerajaan meratifikasi ICERD di Malaysia.

UMNO dan PAS juga sebelum ini mendakwa tindakan meratifikasi ICERD akan menghapuskan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.