PDRM Cadang Beri Diskaun Saman 50%

KUALA LUMPUR — Polis Diraja Malaysia (PDRM) bercadang memberi tawaran diskaun saman sebanyak 50 peratus kepada pesalah trafik setiap kali Program Kepolisan Moden Berprofil Tinggi diadakan sekitar ibu negara.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata pemberian diskaun saman tersebut adalah untuk menarik orang ramai menghadiri program berkenaan serta langkah untuk masyarakat mendekati polis dalam melaporkan sebarang kes jenayah.

“Kami buat program ini adalah untuk bertemu dengan masyarakat, bila ramai yang hadir, polis boleh menghebahkan banyak maklumat mengenai kejadian jenayah dan keselamatan,” katanya selepas menyertai program tersebut di Kompleks Membeli Belah Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mazlan berkata seramai 135 individu ditahan berkaitan kes ragut bagi tempoh Januari sehingga Oktober lepas.

“Saya lihat kawasan yang banyak kes ragut ialah di sekitar daerah Dang Wangi iaitu lebih 60 peratus untuk tahun ini sahaja manakala di kawasan lain seperti Bukit Bintang dan Chow Kit terkawal,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.