Khatan Wanita: Jika Tiada Sebarang Kebaikan, Akan Cari Jalan Lain – TPM

KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat berkata amalan berkhatan terhadap wanita merupakan satu budaya yang dilaksanakan sejak dahulu lagi.

Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata demikian mempertahan kenyataan yang dibuat wakil kementeriannya kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), selepas mendapat kritikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Suhakam).

“Perkara ini sebenarnya satu budaya yang diamalkan sejak sekian lama, tapi yang pasti kita tidak sama dengan dengan cara berkhatan yang dilakukan di Afrika,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau juga berkata kementeriannya sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan berhubung isu amalan berkhatan itu.

Katanya, perkara itu dibincangkan bagi mengenalpasti jika ada sebarang keburukan sebelum membuat sebarang ketetapan terhadap FGM (mutilasi alat kelamin wanita).

“Kita akan bincang dan lihat jika ia tidak memberi sebarang kebaikan, jadi kita perlu lakukan sesuatu,” katanya.

Semalam, Suhakam mengkritik kerajaan yang dikatakan memberi penjelasan tidak meyakinkan serta mengelirukan dalam Laporan Berkala Sejagat (UPR) kepada PBB di Geneva, Switzerland, mengenai amalan “berkhatan” melibatkan wanita di Malaysia.

Sebelum ini dilaporkan wakil kementerian itu ketika membentangkan UPR kepada PBB berkata, FGM tidak diamalkan di Malaysia tetapi berlaku untuk bayi kerana nilai budaya.

Dalam perkembangan lain, Wan Azizah berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memastikan kebajikan guru dan keluarga mereka tidak diketepikan.

Beliau mengulas mengenai laporan seorang guru yang terpaksa “melelong” 6 anaknya selepas gagal mendapat pertukaran sekolah.

Wan Azizah berkata pihaknya menghantar beberapa pegawai untuk mengenal pasti kes tersebut sehingga memaksa guru berkenaan berpisah dengan anak-anaknya.

“Mereka murung, guru penting dan kita mesti menjaga kebajikan mereka dan ini salah satu daripada pendekatan baharu dan kita kena teliti apakah persekitaran guru-guru ini diambil kira supaya kebajikan mereka diambil perhatian.

“Jika anak-anaknya perlukan perlindungan mereka boleh mengambil alih perlindungan itu,” katanya.

Semalam dilaporkan seorang guru wanita terpaksa menyerahkan 6 anaknya kepada sesiapa sahaja selepas kecewa keputusan pertukaran sekolah tidak diluluskan.

Menerusi perkongsian di Facebook, guru tersebut berkata dia berada selama 13 tahun di Johor ditemani 6 orang anaknya kerana bercerai.

Kini, rumahnya dijual dan perlu mencari rumah sewa malah menyindir pegawai KPM agar menjaga anak-anaknya, sementara proses permohonan pertukaran guru diluluskan.

Guru berkenaan juga mengakui mengalami kemurungan dan menyatakan anak-anaknya berusia 2, 3, 7, 8, 9 dan 14 tahun. – FMT

One thought on “Khatan Wanita: Jika Tiada Sebarang Kebaikan, Akan Cari Jalan Lain – TPM

  • November 15, 2018 at 7:43 pm
    Permalink

    Jgn cakap je terus buat selesaikan?? Tk perlu hebah hebuh?? Byk kerja kurang cakap??

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.