Harapan Coin Bertentangan Dengan Prinsip Urus Tadbir Yang Baik – Cenbet

SHAH ALAM – Badan pemikir Centre For A Better Tomorrow (Cenbet) menyuarakan kebimbangan berhubung projek Harapan Coin yang disifatkan sebagai bertentangan dengan prinsip urus tadbir yang baik.

Naib Presidennya Datuk Simon Lim Seng Chai menggesa Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad, yang juga pengarah komunikasi Parti Amanah Negara, untuk menangguhkan projek tersebut.

“Parti politik dalam gabungan parti pemerintah yang mencadangkan mata wang digitalnya sendiri kepada pengawal selia menimbulkan banyak kebimbangan, terutama apabila Khalid mengatakan bahawa mata wang kripto boleh digunakan untuk transaksi rasmi seperti membayar denda.

“Lebih buruk lagi, Khalid telah mengakui bahawa 30% dana yang dikumpulkan akan disalurkan kepada pentadbir sistem,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lim berkata penggunaan Harapan Coin sebagai ‘alat’ pengumpulan dana untuk gabungan pemerintah juga menimbulkan kebimbangan mengenai campur tangan politik asing kerana pemilik akaun boleh kekal tanpa nama (anonymous)

“Ini membolehkan pihak asing mempengaruhi proses politik kita.

“Ini tidak seperti sumbangan politik konvensional yang mudah dikesan dan tindakan boleh diambil seperti menyenarai hitam terutama kepada entiti korporat yang tidak mempunyai operasi perniagaan aktif atau aset penting dalam milikan mereka.

Menurut Lim juga, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa penggunaan mata wang kripto tidak sah di negara ini.

Beliau turut mempersoalkan sama ada pembeli akan mendapatkan bantuan sekiranya ada masalah.

Harapan Coin berfungsi sebagai platform pengumpulan dana politik pertama dunia menggunakan teknologi mata wang kripto serta blockchain dan perkara itu akan diputuskan oleh Majlis Presiden PH.

Khalid, yang merupakan pengasas bersama projek itu, dilaporkan berkata kertas kerja dan pembentangan projek itu akan dikemukakan kepada BNM dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lama lagi.

Beliau berkata walaupun BNM dan Majlis Presiden PH mungkin mengambil sedikit masa untuk meluluskannya, namun beliau tetap bertekad untuk terus mencadangkan projek itu. 

Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini mendesak Khalid mendedahkan dalang sebalik projek Harapan Coin itu kerana beliau meragui agenda memperkenalkan matawang digital itu untuk transaksi kerajaan seperti pembayaran lesen dan saman.

Pada 27 Februari, BNM mengeluarkan Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembanterasan Pembiayaan Keganasan selepas mengambil kira maklum balas daripada wakil pengurup wang digital, persatuan industri, firma undang-undang, institusi kewangan dan ahli akademi.  -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.