Belanjawan Kerajaan Tidak Seimbang Antara Fakta & Realiti – Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan diminta melihat keadaan sebenar sebelum mencadangkan belanjawan.

Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, hairan bagaimana kerajaan masih mampu membeli aset ketenteraan dengan peruntukan belanjawan yang terhad.

Katanya, peruntukan keseluruhan bagi kementerian itu dikurangkan RM2 bilion manakala aspek penyelenggaraan turun 84 peratus.

“Saya bimbang dengan keseimbangan antara fakta dan realiti dalam belanjawan kali ini.

“Kerajaan perlu membuat perbandingan setara berdasarkan dokumen hitam dan putih dengan apa yang dibentangkan,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Hishammuddin yang juga Ahli Parlimen Sembrong, turut mempersoalkan bagaimana kerajaan ingin meyakinkan rakyat membeli beberapa aset yang tidak mampu dimiliki pentadbiran terdahulu.

“Rakyat tidak diberi butiran berhubung pecahan belanjawan yang diperlukan oleh tentera darat, laut dan udara.

“Saya juga tidak melihat kenyataan Kementerian Pertahanan bagaimana aset boleh dibiayai dengan peruntukan ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin menegaskan tidak ke China tetapi mengekalkan komunikasi dengan pemimpin negara itu untuk memburu ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Saya akan salurkan apa juga maklumat yang ada kepada pihak polis,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.