Belanjawan 2019 Gagal Ambil Kira Soal Pelaksanaan – Khairy

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2019 bukan sahaja tidak memihak kepada rakyat miskin tetapi sebuah belanjawan penuh dengan inisiatif yang diumumkan tanpa memikirkan soal pelaksanaan.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata, kegagalan kerajaan Pakatan Harapan mengumumkan mekanisme pelaksanaan telah menimbulkan banyak pertikaian terhadap inisiatif yang diumumkan seperti Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40 dan subsidi petrol bersasar.

“Rumah dah siap, bukan sahaja pahat masih berbunyi, tetapi kontraktor masih ada dalam rumah buat kerja,” ujarnya dalam wawancara bersama Utusan Online hari ini.

Mengambil contoh Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40, Khairy berkata, dana berkenaan dirangka bagi memberi perlindungan sehingga RM8,000 kepada golongan B40 mendapatkan rawatan di hospital swasta untuk penyakit kritikal.

“Namun pergi hospital swasta (untuk mendapatkan rawatan penyakit kritikal) kos rawatan sudah mesti lebih, siapa hendak bayar baki? Apa bentuk rundingan dengan syarikat insurans Great Eastern tidak dijelaskan.

“Itu belum lagi diambil kira laporan di Singapura kata Great Eastern belum buat apa-apa keputusan lagi. Dan ini ada kaitan dengan Great Eastern nak minta pelepasan daripada Bank Negara supaya ekuiti dia tidak mematuhi syarat ditetapkan.

“B40 yang tinggal di pedalaman nak pergi hospital swasta, mana ada hospital swasta. Jadi tak relevan kepada orang miskin. Semua ini menimbulkan pertikaian bahawa belanjawan ini tidak difikir semasak-masaknya untuk membantu rakyat tetapi sebenarnya untuk memberi kelebihan kepada golongan tertentu,” ujarnya.

Khairy berkata, walaupun Belanjawan 2019 menyediakan peruntukan besar RM314.5 bilion, tetapi tiada program khas yang dapat membantu kumpulan rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan diumumkan.

“Namun, diumumkan pula bahawa kerajaan akan mengutip dividen khas dari Petronas sebanyak RM30 bilion yang akan digunakan bagi bayaran balik tuntutan kutipan Cukai Barangan dan Jualan (GST) dan cukai pendapatan, sedangkan banyak dari tuntutan itu masih dalam pertikaian dan belum diluluskan.

“Kenapa tak selaraskan dahulu, (kemudian) baru bayar? Kenapa perkara ini diutamakan, walhal bantuan pada golongan memerlukan seperti golongan B40 dibelakangkan?” soal Khairy.

Nasib yang sama turut menimpa golongan nelayan dan petani, apabila segmen mereka seolah-olah dipinggirkan sama sekali dengan pemansuhan Bantuan Musim Tengkujuh.

Apabila ditanya mengenai kemungkinan belanjawan kali ini mungkin umpama satu ‘hukuman’ terhadap golongan yang tidak menyokong kerajaan PH, Khairy berkata:

“Saya taknak buat tuduhan begitu, namun ada projek-projek besar yang boleh bawa kesan ekonomi yang besar pada kawasan yang besar, sebagai contoh ECRL, ditangguhkan, nampaknya selama-lamanya.

“Seperti juga Sarawak yang hanya dapat tambahan RM10 juta sahaja, itupun tidak diperincikan untuk apa, (sedangkan) Sabah dapat tambahan yang besar. Saya taknak politikkan hal ini, tetapi Sabah di bawah PH, Sarawak tidak,” kata Khairy.

Untuk rekod, projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dluluskan oleh kerajaan terdahulu pada 21 Oktober 2016 dan melibatkan syarikat pembinaan dari China dengan kos sebanyak RM80 bilion bagi membina landasan berkembar yang merangkumi Pahang, Terengganu dan Kelantan. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.