Ekspo Negaraku Tarik Ribuan Pengunjung Di Hari Pertama

KUALA LUMPUR – Menakjubkan, terpesona, canggih, moden! Demikian gambaran rata-rata mereka yang mengunjungi pameran infrastruktur berskala besar, Ekspo Negaraku 2017 di Dataran Merdeka, di sini.

Ekspo bertaraf antarabangsa yang mula dibuka sejak 10 pagi tadi bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung mengetahui secara lebih jelas mengenai hala tuju pembangunan negara, malah mereka juga seolah-olah ‘dibawa menerokai’ masa hadapan negara menerusi aplikasi teknologi interaktif di bawah lima kubah dengan paparan visual 360 darjah.

Meskipun baru dibuka hari ini, tinjauan Bernama dari pukul 10 pagi hingga 3 petang mendapati ribuan pengunjung dari dalam dan luar negara, tanpa mengira lapisan umur berpusu-pusu mengunjungi ekspo berkenaan bagi mengetahui keistimewaan yang dipamerkan dalam setiap kubah.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Larkin 2, Johor Bharu, Johor, Rodyisnansyah Julaihi berkata pameran itu bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan dewasa, malah turut memberi ilmu kepada pelajar sekolah.

“Ekspo ini sangat menarik kerana ia bukan sahaja bersifat informatif dan interaktif, malah pengunjung dapat menyentuh, mencuba dan merasai pelbagai pengalaman di setiap kubah pameran.

“Pelajar sekarang memang suka dengan pelbagai aktiviti interaktif, jadi bila ada pameran sebegini yang mengaplikasikan pelbagai teknologi seperti kamera, komputer, skrin sentuh dan pelbagai alatan simulator, mereka akan lebih faham dan rasa seronok untuk meneroka keseluruhan ekspo,” katanya yang mengawasi rombongan 40 pelajar dan guru sekolah berkenaan.

Rodyisnansyah berkata apa yang lebih menarik, di kubah ketiga iaitu di segmen telekomunikasi pengunjung dapat mengetahui secara lebih jelas mengenai perubahan teknologi telekomunikasi yang digunakan di negara ini.

“Di situ terdapat pelbagai jenis telefon dari zaman 1980-an, selama ini kita hanya dapat tengok telefon lama menerusi Internet dan dalam buku teks, tapi hari ini kita berpeluang untuk sentuh dan menggunakannya sendiri,” katanya.

Bagi seorang warga emas, Wong Yong Wee, 62, dari Shah Alam, Selangor berkata meskipun terpaksa berjalan menggunakan tongkat, beliau tetap mengambil peluang keemasan tersebut untuk menerokai setiap kubah pameran.

“Saya sangat teruja, ya saya boleh cuba bawa sebuah kereta api berkelajuan tinggi, kendali pesawat simulator tiga dimensi, bawa bas besar, ini semua kita boleh rasa dan teknologinya canggih, saya sangat kagum dengan ekspo ini.

“Memang rasa ‘real’ (nyata), tak sia-sia saya datang ke sini,” katanya yang mengunjungi ekspo tersebut bersama isteri dan dua cucunya.

Sementara itu, Jacqueline Brumpton, 42, dari Poland memuji usaha kerajaan untuk mengadakan ekspo sedemikian bagi berkongsi dan memberi maklumat kepada rakyat mengenai apa yang ingin dibangunkan kerajaan.

Beliau berkata ekspo itu dipenuhi dengan keterujaan dan teknologi terkini yang digunakan untuk mempamerkan mesej yang ingin disampaikan, menunjukkan Malaysia bergerak ke hadapan.

“Menerusi ekspo ini, saya berpeluang merasai dan berpengalaman menaiki Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang akan dibina tidak lama lagi…dan paparan visual 360 darjah sangat mempesonakan.

“Ini adalah satu daripada ekspo mengagumkan yang pernah saya hadiri…dan saya rasa semua orang perlu datang ke sini,” katanya.

Pameran yang dibuka secara percuma hingga 15 Dis itu dibuka kepada orang ramai bermula 10 pagi hingga 10 malam dan dijangka menarik kehadiran 500,000 pengunjung. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.