Ajar Remaja Amal Seks Elak Mengandung Ibarat Mempromosikan Zina – Fathul Bari

Pendidikan seks menurut Islam bertitik tolak daripada penekanan kepada jalinan  hubungan yang halal iaitu ikatan perkahwinan sah sebelum berbicara mengenai soal hubungan kelamin, kata pendakwah Islam, Ustaz Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Tegasnya, dengan ikatan pernikahan yang menjamin kepada hubungan suami isteri  halal, hubungan seks dari sudut syariat akan dijamin selamat, bersih dan  bebas daripada sebarang keraguan.

“Sebagai muslim, kita fokuskan kepada soal perkahwinan yang sah terlebih dahulu. Kemudian kita cakap soal keselamatan (hubungan seks selamat). Dua perkara ini  perlu diajar seiringan,” katanya ketika dihubungi Malaysian Digest.

Dr Fathul diminta untuk mengulas cadangan Ketua Armada PPBM, Syed Saddiq Syed  Abdul Rahman ingin mendidik remaja kaedah seks selamat sebagai langkah mengelak  daripada mengandung.

“Adalah tidak boleh dinafikan remaja-remaja sekarang makin bebas, this can’t be  avoided. Paling kurang kita mengajar mereka mangamalkan seks selamat dengan  menghalang mereka dari mengandung,” kata Syed Saddiq ditwitter.

Dr Fathul menerusi tweet balas terhadap kenyataan Syed Saddiq melihat Ketua Armada PPBM itu seolah-oleh mempromosikan zina dalam bahasa yang positif iaitu ‘seks selamat’.

“Tak betul tu Syed. Sewajarnya kita fikirkan solusi untuk kawal segala perkara yang boleh membawa kepada ZINA. Itu keutamaan PALING MINIMUM,” ujarnya.

Menjelaskan lebih lanjut kepada Malaysian Digest, Dr Fathul berkata, kenyataan Syed Saddiq membuatkan masyarakat ragu-ragu berhubung pandangan Islam sebenar mengenai kaedah ‘seks selamat’.

“Benar, sukar untuk mengawal hubungan bebas. Jadi bagaimana kita sebagai pemimpin mencari jalan penyelesaian untuk mengawal masalah ini. Bukannya beri idea supaya mereka (remaja) terus bergaul bebas.

“Takkan kita nak bagi idea macam itu (ajar seks selamat bagi elak mengandung)?Dimana soal mencegah? Daripada mengubati, lebih baik kita cari langkah-langkah untuk menghalang perkara buruk (hubungan bebas) itu dari berlaku,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kita sepatutnya berkempen untuk menambah zuriat bukannya mengelak daripada mengandung, tetapi kaedahnya adalah dengan berkempen menambah zuriat secara sah iaitu mengikut ikatan pernikahan.

“Kita umat Islam, kita nak anak, kita nak zuriat. Itu matlamat dalam perkahwinan,” ujarnya lagi.

Bahkan pandangan agama selain Islam juga kata Dr Fathul, menitikberatkan hubungan perkahwinan yang sah dalam mendapatkan zuriat.

“Kenapa nak menghalang orang mengandung saya tak faham,” katanya yang juga Exco Pemuda UMNO.

Ujarnya, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin merangkap Menteri Belia dan Sukan telah membahaskan agenda sosial dalam siri wacana Transformasi Nasional (TN50) Kementerian Belia dan Sukan yang turut menyentuh aspek pembentukan akhlak, nilai sahsiah dan keperibadian dalam membangunkan modal insan kelas pertama.

“Pendidikan seks dalam agama Islam melibatkan sudut pandangan, adab, tingkah laku dan akhlak. Ini yang dilakukan diperingkat nasional sepertimana dibangkitkan oleh Khairy Jamaluddin dengan memberi fokus kepada agenda sosial baharu. Inila cara bagaimana kita nak uruskan kebebasan remaja,” kata Dr Fathul lagi. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.