Yuna Sambut Hari Lahir Bersama Kanak-Kanak Di PPUM

Kuala Lumpur – Penyanyi Yuna berkongsi kegembiraan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-28 dengan melawat kanak-kanak di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini pada Jumaat.

Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Zarai berkata, majlis tersebut dilakukan secara sederhana bersama 30 pesakit kanak-kanak di wad pediatrik pusat perubatan itu.

“Sebenarnya saya tidak rancang apa-apa pun cuma tiba-tiba saya rasa nak datang hospital dan menziarah kanak-kanak yang sakit.

“Saya beritahu perkara itu kepada ibu saya dan Alhamdulillah ibu saya merealisasikannya dengan menghubungi pihak hospital bagi meminta kebenaran lawatan tersebut,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.

Yuna lahir pada 14 November 1986.

Jelas Yuna, perkara tersebut dilakukan secara sembunyi tanpa mahu sebarang liputan media bagi mengelak dituduh riak.

Bagaimanapun secara kebetulan semasa lawatan itu, jurugambar The Star iaitu Azman Ghani berada di pusat perubatan berkenaan atas satu tugasan lain.

“Majlis ni memang saya tak beritahu media pun sebab hanya melibatkan keluarga sahaja, tetapi tidak sangka terserempak dengan wartawan The Star.

“Saya tidak mahu orang cakap saya menunjuk-nunjuk pula. Namun saya sangat bersyukur kerana dapat menggembirakan kanak-kanak selain melihat mereka semua tersenyum,” ujarnya.

Yuna kini berada di Malaysia sehingga Disember ini bagi memperbaharui visa dan persiapannya untuk menunaikan umrah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.