Tidak Marah Dituduh Perampas, Penerimaan Peminat Semakin Baik

Kuala Lumpur – Penyanyi dan pelakon jelita, Soo Wincci, 29, tidak marah dengan tuduhan perampas suami orang selepas gosip tersebar di Taiwan mengatakan dia mempunyai hubungan sulit dengan aktor popular kelahiran Hong Kong, Daniel Chan.

Katanya, gosip liar itu secara tidak langsung memberi kesan pada dirinya yang semakin dikenali di sana bahkan penerimaan peminat terhadap nyanyian dan lakonannya juga semakin baik.

“Sejak dua tahun, saya masih bekerja keras mengukuhkan karier seni di sana. Saya gembira apabila respon diterima sangat positif.

“Walaupun suatu ketika saya pernah dilanda gosip sebagai perampas suami orang tetapi ia sebenarnya mempunyai hikmah.

“Memang sedih apabila tersebar cerita sebegitu tetapi kesannya, saya kini dikenali dan semakin di terima peminat di sana,” katanya kepada Malaysian Digest.

Bekas Ratu Cantik Malaysia 2008 ini mengakui, dia mengenali Daniel selepas aktor itu membintangi klip video muziknya.

Lantaran itu, hubungan mereka diperkatakan walaupun Daniel sudah berkahwin dan menganggap ia adalah asam garam sebagai artis.

“Disebabkan dia sudah mempunyai isteri, saya dituduh perampas. Itu gosip paling dahsyat yang pernah saya terima setakat ini.

“Bagi saya, ada ketika gosip memang perlu sebab ia menjadi cara lebih senang seseorang artis itu cepat dikenali.

“Apatah lagi di Taiwan, saya difahamkan media di sana bahawa seseorang artis itu perlu dikaitkan dengan cerita panas dan sensasi untuk menarik perhatian masyarakat.

“Peminat suka baca gosip berbanding karier. Jadi, gosip menjadi salah satu cara mereka memancing pembaca untuk lebih mengambil tahu tentang seseorang selebriti itu,” ujar bekas finalis program Master Chef Selebriti musim pertama ini.

Begitupun, dia memberitahu gosip berkenaan semakin berkurangan tetapi persepsi media dan masyarakat terhadapnya mula berubah selepas mengetahui latar belakang dirinya yang bakal bergelar profesor.

“Di sana, memberi satu kelebihan jika seseorang artis itu mempunyai latar belakang pendidikan tinggi.

“Saya difahamkan masyarakat di sana lebih menunjukkan rasa hormat dan segan terhadap kita apatah lagi saya akan menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD),” katanya.

Katanya, meskipun sibuk dengan aktiviti seni di Taiwan, dia sempat mencuri masa melanjutkan pengajian PhD dalam jurusan perniagaan di Universiti Terbuka, Kuala Lumpur.

“Tidak dinafikan saya hampir putus asa untuk meneruskan pengajian kerana aktiviti seni terlalu padat tetapi saya kuatkan semangat demi mencapai cita-cita.

“Buat masa ini saya harus beri tumpuan pada kerjaya di Taiwan dan saya bersama syarikat naungan di sana mempunyai banyak perancangan untuk jangka masa panjang.

“Selain nyanyian dan lakonan, saya juga mahu menceburi bidang perniagaan. Ketika ini, saya juga mencuba menulis skrip dan berhasrat duduk di kerusi pengarah satu hari nanti,” katanya yang turut mempelajari bahasa Korea dan merancang mahu mengembangkan karier nyanyiannya di negara itu pada masa akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.