Termakan Pujuk Rayu ‘Awang Hitam’, Wanita Kerugian Lebih RM100,000

Kuala Lumpur – Walaupun kes penipuan oleh lelaki warga Afrika sering disiarkan di media, masih ada wanita tempatan yang terjerat perangkap ‘Awang Hitam’.

Terbaru, seorang wanita kerugian RM107,350, akibat termakan pujuk rayu ‘Awang Hitam’.

Wanita berusia 40-an itu mengenali suspek yang menggunakan nama Aakil Muhsi atau Azim melalui laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Chong Kok Sin berkata, pada pertengahan Ogos lalu, mangsa diminta membuat pembayaran, bagi mengeluarkan bungkusan yang kononnya mengandungi wang tunai US$1 juta yang didakwa ditahan Jabatan Imigresen di Kota Kinabalu.

Menurut Chong, mangsa yang terpedaya dengan janji manis suspek mahu mengahwininya, bertindak mengeluarkan wang simpanan untuk membantu suspek.

“Mangsa memasukkan wang secara berperingkat ke lapan akaun berbeza, bagi mendapatkan bungkusan itu.

“Oktober lalu, suspek meminta mangsa memasukkan wang ke dalam akaunnya untuk kali kedua, namun setelah menyedari dirinya ditipu, dia membuat laporan polis,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, pada Jumaat.

Hasil laporan itu, polis membuat serbuan di sekitar Kuala Lumpur, Puchong, Ampang dan Kajang, pada Rabu lalu dan menahan 15 suspek.

Mereka terdiri daripada 11 lelaki warga Afrika, tiga wanita yang masing-masing dari Uganda, Filipina dan Nigeria, serta seorang wanita tempatan berusia 20 hingga 30 tahun.

Lima warga asing yang ditahan itu mempunyai dokumen perjalanan sah, manakala sembilan lagi menggunakan visa pelajar.

“Kami percaya wanita warga tempatan yang ditahan bertindak sebagai pengumpul kepada semua akaun yang akan digunakan bagi tujuan memasukan wang ke dalam akaun miliknya.

“Siasatan mendapati, wang yang diterima wanita (tempatan) itu akan diserahkan kepada beberapa lelaki warga Afrika, sebelum dipindahkan ke akaun di luar negara,” Chong menjelaskan.

Beliau berkata, hasil serbuan itu, polis turut merampas tujuh kad ATM (Mesin Juruwang Automatik), 26 telefon bimbit dan sembilan komputer.

Menurutnya, seorang daripada lelaki yang diberkas itu, dipercayai adalah ketua sindiket penipuan Internet, manakala yang lain bertindak sebagai pemilik akaun.

Semua suspek direman tujuh hari sehingga Selasa depan, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.