Pertempuran Antara Pasukan Tentera Dan BIFF, 3 Maut 3 Lagi Cedera

Cotabato – Tiga terbunuh manakala tiga lagi cedera, selepas pertempuran tercetus antara pasukan tentera dan anggota Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) di selatan Filipina, pada pagi Jumaat.

Agensi Berita Xinhua melaporkan, ratusan penduduk Kampung Kabasalan, di Bandar Pikit, wilayah Cotabato Utara terpaksa melarikan diri sejurus sebelum subuh, selepas pertempuran tercetus antara tentera kerajaan dan pemberontak BIFF.

Ketua Kampung Kabasalan, Teng Lidasan berkata, seorang petani, seorang remaja dan seorang pemberontak BIFF maut dalam satu letupan mortar.

Tiga lagi penduduk kampung, termasuk seorang remaja turut cedera dalam insiden itu.

Menurut Lidasan, pertempuran tercetus selepas pemberontak BIFF menyerang anggota tentera yang ditempatkan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, pemberontak BIFF dan tentera kerajaan menafikan melepaskan mortar di kawasan terbabit.

Komander Briged Infantri Ketujuh, Kolonel Orlando Edralin berkata, pasukan tenteranya berdepan kira-kira 80 pemberontak BIFF yang diketuai seorang komander.

BIFF yang berpisah daripada Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), telah melancarkan beberapa serangan maut sejak beberapa bulan lalu, dalam usaha menggagalkan rundingan damai MILF dan kerajaan Filipina.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.