Lelaki Tertinggi Dan Terpendek Di Dunia Bertemu Di Kota London

England – Pemegang rekod Guinness World Records bagi kategori lelaki tertinggi dan terkecil di dunia bertemu buat kali pertama di Kota London, kelmarin.

Sultan Kosen, 31, yang berketinggian 8 kaki tiga inci (2.5 m) berjabat tangan dengan Chandra Bahadur Dangi, 75, yang hanya 21.5 inci (55 cm) di Hospital St. Thomas dalam satu pertemuan sempena ulang tahun rekod dunia itu yang ke-60.

Sultan Kosen berkata, beliau sudah lama ingin bertemu dengan Chandra Bahadur Dangi.

“Akhirnya dapat juga saya bertemu dengan Chandra. Bagi saya, pertemuan ini merupakan suatu yang amat luar biasa.

“Walaupun dia pendek dan saya tinggi, kami mempunyai perjuangan yang sama sepanjang hidup dan apabila saya melihat ke dalam mata Chandra, saya dapat melihat bahawa dia seorang lelaki yang baik,” katanya yang berasal dari Turki.

Sementara itu, Chandra Bahadur Dangi yang berasal dari Nepal pula memberitahu bahawa beliau berbangga dapat bertemu dengan Sultan.

“Saya sentiasa mahu bertemu Kosen yang istimewa kerana selain memegang rekod orang paling tinggi di dunia, Kosen juga memegang rekod Guinness tangan terbesar (27.5 cm) dan kaki terbesar (36.5 cm),” katanya.

Dalam pada itu, seramai 600,000 pengunjung dari seluruh dunia turut meraikan hari istimewa Guinness World Records yang mencipta rekod sebagai perhimpunan terbesar berpakaian seperti penguin dan penari Perancis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.