Guru Agama Ditembak Mati, Anak Tujuh Tahun Cedera

Yala – Seorang guru agama yang pernah ditahan pihak berkuasa mengenai letupan bom bas ekspres Betong-Bangkok, pada 6 September lalu, ditembak mati, sementara anaknya berusia tujuh tahun cedera.

Ustaz Hasan Madehok, 43 tahun, yang berasal dari Kampong Pawal, mati ditembak di rumahya, di Kampung Thanmalee, Mukim Airyeweng, daerah Betong, ketika sedang berehat di rumahnya bersama keluarga.

Kapten Suchat Mulmuang, Komander Renjer 3311 berkata, kejadian berlaku pada jam 8 malam, dan mangsa ditembak dengan senjata AK47 di dada, manakala anaknya terkena peluru sesat juga di dada, tetapi cedera parah.

Kolonel Pramoth Prom-in, jurucakap Tentera Keempat berkata, kejadian itu adalah perbuatan ‘tangan ketiga’ yang ingin memfitnahkan pihak keselamatan Thai.

“Mangsa adalah suspek yang pernah ditahan di bawah undang-undang tentera dan undang-undang darurat, atas tuduhan berkaitan pengeboman sebuah bas ekpress Betong-Bangkok, pada 6 September lalu.

“Suspek juga ditahan pihak renjer untuk membantu siasatan pada 7 September, tetapi dibebaskan pada 10 September,” katanya.

Kolonel Pramoth juga berkata, Komander Tentera Bahagian keempat, Lt. Jen. Prakarn Cholayuth telah mengarah pegawai forensik membantu siasatan kes ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.