Britain Gariskan Perancangan, Rampas Pasport Anggota Jihad

Canberra – Perdana Menteri Britain, David Cameron hari ini menggariskan perancangan untuk merampas pasport daripada anggota jihad di negaranya dan melarang mereka daripada memasuki semula selepas berjuang di luar negara.
Serentak dengan itu Britain juga bercadang untuk melarang pendaratan pesawat yang gagal mematuhi senarai larangan penerbangan yang dikeluarkan oleh London.
Kira-kira 500 warga Britain yang radikal dianggarkan kini menyertai perjuangan di Iraq dan Syria, di mana kedua-dua negara berkenaan sedang menghadapi ancaman daripada kumpulan militan Negara Islam (IS).
“Tidak lama lagi kami akan memperkenalkan Rang Undang-Undang Anti Keganasan di United Kingdom,” kata Cameron dalam ucapan di Parlimen Australia sebelum meneruskan perjalanan ke sidang kemuncak pemimpin G20 di Brisbane.
“Kuasa baharu kepada polis di pintu masuk bagi merampas pasport, untuk menghentikan suspek daripada masuk dan melarang warga Britain daripada kembali ke United Kingdom kecuali mereka melakukannya mengikut syarat yang ditetapkan.
“Terdapat juga peraturan baharu bagi melarang syarikat penerbangan yang tidak mematuhi senarai ‘tidak boleh terbang’ atau langkah keselamatan yang melarang pendaratan di United Kingdom,” katanya.
Laporan media Britain menyatakan undang-undang itu, yang akan dibentangkan di Parlimen bulan ini, akan menghalang individu daripada kembali dari Syria dan Iraq ke Britain bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun kecuali mereka mematuhi syarat ketat.
Ini mungkin meliputi diiringi balik ke Britain dan kemudian menghadapi pendakwaan, jaminan yang memerlukan mereka melaporkan diri dan menghadiri kursus bagi mematahkan pemikiran radikal.
Australia juga menghadapi senario sama seperti Britain dan sekurang-kurangnya 73 warganya dirampas pasport bagi mengelakkan mereka daripada mengunjungi Iraq dan Syria. – AFP

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.