40 NGO Sepakat Tubuh Badan Bertindak Bantah Arak, Tentang Permohonan Lesen Arak

Bangi – Sebanyak 40 badan bukan kerajaan (NGO) sepakat menubuhkan Badan Bertindak Bantah Arak (BBBA), bagi menentang permohonan menjual arak secara pukal, di sebuah pasar raya besar di Bandar Baru Bangi.

Presiden BBBA, Ahmad Sufie Munasir berkata, BBBA yang baru ditubuhkan semalam itu, bertujuan mengumpul bantahan di kalangan penduduk terhadap permohonan lesen penjualan arak di premis Aeon Big Sdn Bhd, di Bandar Baru Bangi.

“Kami sebagai penduduk berasa terganggu dan terkilan dengan sikap kurang peka orang luar, yang memohon mendapatkan lesen menjual minuman keras di sini, sedangkan majoriti masyarakat Bangi ialah orang Islam.

“Meskipun kami mengiktiraf kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia yang mempunyai hak tersendiri, namun kami merasakan permohonan ini tidak sesuai, kerana tiada permintaan di sini,” katanya pada sidang media di Kompleks Pendidikan Islam, Bandar Baru Bangi, hari ini.

Menurutnya, isu permohonan lesen penjualan arak itu amat serius, kerana ia dikhuatiri bakal membabitkan anak tempatan dalam perniagaan tidak sah di sisi agama Islam.

“Jika ia diluluskan, sudah pasti ada anak tempatan yang akan terlibat secara langsung dan kami bertanggungjawab mencegahnya sebelum berlaku.

“Selain haram daripada sudut syariah, agama lain juga tidak menggalakkan penganutnya mengambil minuman berkenaan, kerana ia memudaratkan kesihatan,” katanya.

Menurutnya, bantahan itu tidak akan terhenti begitu saja, kerana BBBA akan menyerahkan memorandum bantahan kepada Pejabat Daerah Bangi, pada 28 November ini.

“Kami akan berarak membawa memorandum pergi ke sana, supaya mereka dapat melihat betapa kami menolak penjualan itu yang bakal merosakkan nama baik Bangi,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.