Polis Cari Dua Suspek Kes Bunuh Dan Ragut

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) — Polis hari ini meminta kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan dua individu bagi membantu siasatan berkaitan kes bunuh dan ragut.

Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dalam kenyataan hari ini berkata bagi kes pertama polis sedang mengesan seorang lelaki berperwatakan wanita dikenali sebagai ‘Ika’ berhubung kes bunuh seorang warga Bangladesh di Kampung Cheras Baru, jam 7 malam pada September lepas.

Suspek berusia awal 30-an itu dipercayai rakan kepada mangsa.

Bagi kes kedua, seorang suspek lelaki dicari berkaitan kes ragut berhampiran lampu isyarat Bandar Tun Razak pada 9.45 pagi, 14 Okt lepas.

Dalam kejadian itu, mangsa yang membonceng motosikal bersama suaminya berhenti di lampu isyarat dan suspek yang menunggang motosikal telah menghampiri mangsa dan meragut beg mangsa yang diletakkan di atas pahanya.

Fotofit kedua-dua suspek dimuat naik di laman sosial Facebook Polis KL dan mereka diperlukan untuk membantu bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

“Bagi kes pertama orang ramai yang mempunyai maklumat boleh hubungi pegawai penyiasat ASP Aida Irwana A. Shukor di talian 03-91452222 atau Pusat Kawalan IPD Cheras 03-92840083.

“Bagi kes kedua boleh hubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Nor Azman Hassan di talian 017-5108966 atau Hotline Rakan Cop Kuala Lumpur 03-21159999/SMS ke 32728 atau pergi di mana-mana balai berhampiran,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.