Tunjuk Bukti Saya Kata SST Akan Turunkan Harga Barang, Kata Guan Eng

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa tiada jaminan harga barang akan turun selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Saya ingin tegaskan sekali lagi seperti pernah disebut dalam sesi Parlimen sebelum ini bahawa kerajaan tidak pernah jamin harga barang tidak akan naik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat meneruskan kenyataannya kerana diganggu oleh Ahli Parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati dengan kenyataannya itu.

Susulan itu, Guan Eng mencabar mana-mana pihak menunjukkan bukti sekiranya beliau pernah mengeluarkan kenyataan bahawa harga barang akan turun selepas pelaksanaan SST.

“Saya dah sebut banyak kali, jika YB boleh tunjuk di mana saya sebut SST akan sebabkan penurunan harga tolonglah beri petunjuk kepada saya. Jika tidak boleh tunjuk bukti jangan sebarkan fitnah tak berasas.

“Pilihan raya kecil Port Dickson telah buktikan siapa sebar fitnah jahat tak laku dan lapuk. Biar kita tunjuk fakta dan angka sebenar,” katanya menjawab celahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang mendakwa pelaksanaan SST tidak menguntungkan rakyat, sebaliknya membebankan.

Dalam perkembangan sama Guan Eng berkata, sejak pelaksaan SST kerajaan kehilangan hasil cukai berjumlah RM17 bilion pada tahun 2018.

“Sebahagian daripada pengurusan kutipan tersebut akan diimbangi tambahan hasil petroleum dan juga dividen daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tertentu.

“Di samping itu antara langkah lain untuk meningkatkan hasil (kerajaan) persekutuan ialah menerusi aktiviti audit dan siasatan berterusan oleh Lembaga Hasil dan Kastam bagi meningkatkan pematuhan cukai. Kerajaan juga akan meneroka sumber hasil baru, terutamanya aktiviti transaksi (perniagaan) atas talian,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Ismail mengenai jenis cukai baru yang akan diperkenalkan oleh kerajaan, Guan Eng berkata, ia akan diumumkan dalam belanjawan negara, 2 November ini.

“Dua minggu saja lagi sebelum belanjawan dibentang. Harap Bera sabar sikit sebagaimana yang ditunggu rakyat,” katanya. – FMT

2 thoughts on “Tunjuk Bukti Saya Kata SST Akan Turunkan Harga Barang, Kata Guan Eng

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.