Saya Tak Kisah Kerajaan PH Tukar Nama Program Zaman BN – Najib

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak tidak kisah kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjenamakan semula program dan inisiatif di bawah pentadbirannya, asalkan ia terus memanfaatkan rakyat.

Bekas perdana menteri itu merujuk tindakan kerajaan PH menjenamakan semula beberapa program sedia ada, termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) ditukar kepada Bantuan Sara Hidup (BSH) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) menjadi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Terbaru ialah penjenamaan semula 201 Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di seluruh negara kepada Pusat Komuniti Desa (PKD).

“Kerajaan hari ini cukup hebat dan istimewa. Mereka ini sarat dengan bakat penjenamaan semula,” tulisnya di Facebooknya hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau tahu PH mahu menghapuskan semua peninggalan kerajaan Barisan Nasional dan pentadbirannya.

“Tak apalah, nak tukar nama, tukarlah.

“Yang penting bagi saya, rakyat masih dapat manfaat dan nikmat daripada kemudahan yang diberikan melalui semua program dan inisiatif yang kita bangunkan dulu.” – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.