PAS Gesa Lim Guan Eng Bentang Kertas Putih Kewangan Negara

KUALA LUMPUR – Pas meminta Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan satu kertas putih mengenai kedudukan sebenar kewangan kerajaan Persekutuan sebelum Bajet 2019 dibentangkan pada 2 November ini.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, kertas putih tersebut sangat penting untuk menyelaras kedudukan kewangan negara ekoran terdapat beberapa kecelaruan mengenai data yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan dan pemimpin-pemimpin yang lain.

“Guan Eng dalam satu kenyataan kelmarin memberitahu kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional telah meninggalkan akaun wang tunai berjumlah RM450 juta pada 30 April 2018. Beliau turut mendakwa akaun hasil disatukan telah susut mendadak sebanyak 96 peratus daripada jumlah asal iaitu RM11.86 bilion pada akhir 2017.

“Penyusutan perbelanjaan mendadak ini perlu diperincikan supaya rakyat mengetahui apakah objek perbelanjaan yang telah dilakukan dan bagaimana kerajaan membiayai perbelanjaan mengurus dalam tempoh Mei hingga September 2018,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari portal Harakahdaily hari ini.

Sementara itu, Nasrudin memberitahu, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu juga telah membuat satu kenyataan mengenai hutang Kerajaan Persekutuan dalam satu program di Universiti Malaya, kelmarin.

Katanya, Mohamad mendakwa nilai sebenar hutang negara jauh lebih besar daripada RM1 trilion seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kewangan sebelum ini.

“Kerajaan Persekutuan dikatakan telah menyembunyikan nilai sebenar kerana jika diumumkan, menurut Mohamad, bimbang negara ini akan menjadi muflis seperti Greece.

“Dakwaan Menteri Pertahanan tersebut amat serius. Walhal, jawapan bertulis Menteri Kewangan pada 24 Julai 2018 kepada Ahli Parlimen Dungun menyatakan dengan jelas hutang Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM686.8 bilion pada 31 Disember 2017. Jawapan yang diberikan selaras dengan laporan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2017 yang telah dibuat oleh Akauntan Negara Malaysia,” ujarnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.