PAS Gesa LGE Dedah Kedudukan Kewangan Sebelum Bajet 2019

KUALA LUMPUR – PAS menggesa Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan satu kertas putih berkenaan kedudukan sebenar kewangan kerajaan sebelum pembentangan Bajet 2019 2 November ini.

Jelas Ketua Penerangan parti itu Nasrudin Hassan, pembentangan itu penting untuk penyelarasan kedudukan kewangan negara berikutan terdapat beberapa kecelaruan mengenai data yang dikemukakan oleh Guan Eng dan pemimpin yang lain sebelum ini.

Katanya, Guan Eng turut mendakwa akaun hasil disatukan telah susut mendadak sebanyak 96 peratus daripada jumlah asal iaitu RM11.86 bilion pada akhir 2017.

“Penyusutan perbelanjaan mendadak perlu diperincikan supaya rakyat mengetahui apakah objek perbelanjaan yang telah dilakukan dan bagaimana kerajaan membiayai perbelanjaan mengurus dalam tempoh Mei hingga September 2018,” katanya dalam kenyatan.

Sementara itu, menurut Nasrudin, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu juga telah membuat kenyataan mengenai hutang kerajaan Persekutuan dalam satu program di Universiti Malaya (UM) pada Sabtu.

Jelas beliau, Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu mendakwa nilai sebenar hutang negara jauh lebih besar daripada RM1 trilion seperti yang dinyatakan oleh Guan Eng sebelum ini.

“Kerajaan Persekutuan dikatakan telah menyembunyikan nilai sebenar kerana jika diumumkan bimbang negara akan menjadi muflis seperti Greece.

“Kenyataan (Menteri Pertahanan) ini amat serius. Walhal, jawapan bertulis Menteri Kewangan pada 24 Julai 2018 kepada Ahli Parlimen Dungun menyatakan dengan jelas hutang kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM686.8 bilion pada 31 Disember 2017.

“Jawapan yang diberikan selaras dengan laporan Penyata Kewangan kerajaan Persekutuan 2017 yang telah dibuat oleh Akauntan Negara Malaysia,” katanya.

Kata Nasrudin, sekiranya nilai sebenar hutang kerajaan Persekutuan tidak benar dengan merujuk kepada kenyataan Menteri Pertahanan, semua angka yang dilaporkan dalam Penyata Kewangan kerajaan Persekutuan dan jawapan Menteri Kewangan di Dewan Rakyat adalah palsu.

Oleh itu, tegasnya, bagi menangani kecelaruan itu, Menteri Kewangan mesti mengemukakan satu kertas putih untuk menyatakan kewangan negara secara tepat bagi mengelakkan kenyataan pemimpin negara dimanipulasi.– SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.