Lelaki Nyaris Maut, Ditembak Selepas Beli Rokok

PETALING JAYA – Seorang lelaki nyaris maut selepas ditembak individu tidak dikenali dalam satu kejadian di Persiaran Tropicana, Kota Damansara, di sini hari ini.

Dalam kejadian 4.50 petang itu, mangsa dikatakan sedang berjalan seorang diri selepas membeli rokok di sebuah kedai serbaneka sebelum ditembak. 

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, pihaknya percaya mangsa ditembak dengan tiga das tembakan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) oleh rakannya,” katanya dipetik Harian Metro.

Mohd Zani berkata, mangsa yang berusia 35 tahun itu kini stabil dan polis sedang mengambil keterangan daripada mangsa.

“Motif kejadian berhubung kejadian masih dalam siasatan. Berdasarkan siasatan suspek dipercayai menaiki sebuah kereta berwarna putih.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan untuk menyalurkan maklumat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.