“Kenapa Ada Mentaliti Seperti Ini?”, Siti Kasim Respon Isu Penutupan Gerai Pameran Non-Halal Di MITC

SHAH ALAM – Penutupan gerai pameran produk berasaskan daging babi di Ekspo  ‘Tastefully Food and Beverage’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh mengundang kritikan aktivis, Siti Kasim.

Beliau mempersoalkan tindakan berkenaan yang didakwanya tidak wajar berlaku di sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum.

“Sudah tentu, Non-muslim tidak wujud di negara ini saya rasa,” sindirnya.

“Kenapa kaum non-Muslim membenarkan kaum pelampau ini melayan anda seperti warga kelas 2 atau ke-3? 

“Kenapa orang Melayu di negara ini mempunyai mentaliti semacam ini sedangkan ia tidak ada sebelum ini? Tanya diri anda,” tulisnya di laman sosial Facebook.

Beliau merujuk kepada laporan media tempatan berhubung penutupan tujuh gerai pameran berasaskan daging babi di ekspo berkenaan, Sabtu lalu. 

Penutupan tersebut susulan reaksi orang awam dan netizen yang meluahkan rasa tidak senang apabila gerai pameran makanan tidak halal dibenarkan ‘bercampur’ dengan gerai makanan yang lain.

Rata-rata netizen berkata ini adalah kali pertama produk bukan halal dijual di dalam dewan pameran.

Ketua Pegawai Eksekutif MITC Abdul Wahab Ibrahim baru-baru ini memohon maaf kerana membenarkan gerai produk bukan halal dibuka di dalam dewan pameran.

Abdul Wahab mengakui bahawa mereka terlepas pandang berkaitan penempatan gerai-gerai pameran di ekspo berkenaan, di mana gerai berasaskan makanan tidak halal sepatutnya diasingkan di ruangan lain.

“Kami telah menutup semua tujuh gerai yang menjual produk tidak halal,” katanya, sambil menambah arahan penutupan itu dibincangkan terlebih dahulu bersama Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Mahani Masban.

Tambah beliau, kawasan berkenaan juga disertu mengikut panduan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

Ekspo tersebut bermula pada hari Jumaat dan telah berakhir semalam. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.