Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, tindakan membatalkan projek mega yang melibatkan pelaburan dari China  memberikan impak negatif kepada perkembangan ekonomi negara yang dilihat kian menguncup.

“Perkara ini dipersetujui para pakar ekonomi bahawa pembatalan projek mega berimpak tinggi seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Pembatalan projek itu yang meningkat kos kepada RM66.7 bilion di bawah pimpinan kerajaan PH menyebabkan Malaysia ketinggalan di belakang Thailand, Vietnam dan Indonesia menjelang 2023,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tegasnya, akibat pembatalan tersebut, China bertindak balas dengan mengalihkan eksport minyak sawit mereka ke Indonesia menerusi perjanjian pembelian minimum 500 tan minyak sawit daripada negara terbabit.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, sejak 12 Julai lalu, syarikat China membeli minyak sawit tambahan daripada Indonesia sebanyak kira-kira RM3 bilion.

“Berikutan janji itu, harga minyak sawit sudah menyusut di bawah RM2,100 setiap tan dan ini adalah paling rendah dalam tempoh tiga tahun. Hasilnya, eksport Malaysia ke pasaran China kian merosot dan Malaysia akan terus ketinggalan dalam penguasaan pasaran ekonomi antarabangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kekesalan apabila terdapat sesetengah pihak berpendapat bahawa kehilangan eksport sawit dan getah tidak memberikan impak besar kepada ekonomi negara.

“Tanpa disedari kesannya amat dirasai oleh para peneroka dan pekebun kecil sawait apabial harga komoditi tersebut kian jatuh sehingga menjejaskan pendapatan mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE