JTK Siasat Majikan Tolak Gaji Pekerja Pergi Solat Jumaat

SEREMBAN – Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan akan menyiasat mengenai tular pekerja Bangladesh sebuah kilang di Labu di sini, yang dikatakan terpaksa mengambil ‘cuti’ dua jam untuk pergi solat Jumaat.

Pengarahnya, S. Tharu Marajan berkata, walaupun tiada peruntukan undang-undang yang majikan perlu membenarkan pekerjanya solat, tetapi itu bukan bermakna majikan tidak mengendahkannya.

“Saya mengetahui perkara itu di Facebook dan telah mengarahkan pegawai untuk menyiasat kebenarannya kerana tidak dinyatakan dengan jelas alamatnya.

“Jika benar kita akan cuba menyelesaikannya dengan cara menang-menang. Maksudnya majikan tidak akan rugi dan pekerja juga dapat tunaikan tanggungjawabnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, majikan sepatutnya bersikap lebih prihatin dan jika disebabkan pekerja solat Jumaat boleh menganggu kerja atau merugikan syarikat, majikan mungkin boleh memanjangkan waktu kerja sebagai ganti.

Bagaimanapun beliau berkata,  masalah seumpama itu boleh diselesaikan jika ada pertimbangan.

Tular di Facebook baru-baru ini mengenai kesungguhan tiga pekerja Bangladesh yang berjalan kaki sejauh dua kilometer dari tempat tinggal mereka di kawasan Labu semata-mata untuk solat Jumaat.

Bagi menunaikan tanggungjawab itu, duit gaji mereka yang berjumlah RM800 sebulan  terpaksa ditolak RM10 kerana mengambil ‘cuti’ dua jam iaitu RM5 untuk setiap satu jam. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.