Jabatan Muzium Malaysia Batal Program Disertai Artis LGBT

KUALA LUMPUR: Jabatan Muzium Malaysia (JMM) membatalkan serta-merta penganjuran program sesi bertemu peminat, ‘Thailand Fans: Together in Kuala Lumpur’ yang dijadualkan berlangsung di auditorium Muzium Negara, pada Sabtu ini.

Ia susulan percanggahan maklumat dalam permohonan oleh pihak penganjur iaitu Maher Seni Production Sdn Bhd yang tidak menyatakan bahawa ia turut disertai dua artis kontroversi dari negara berkenaan dan terkenal sebagai ikon LGBT.

JMM dalam kenyataan hari ini berkata, penganjuran program membabitkan dua artis ikon LGBT dari Thailand itu hanya diketahui selepas poster program berkenaan bertajuk ‘Kissing Krist & Singto’ tular di laman sosial.

Katanya, JMM sudah menghubungi penganjur bagi mendapatkan pengesahan mengenai pembabitan dua artis berkenaan dan keputusan pembatalan program itu muktamad biarpun dimaklumkan ia bagi tujuan amal.

“Semalam, JMM mengeluarkan penafian mengenai penganjuran program itu berikutan permohonan awal daripada penganjur pada 31 Mei lalu bagi mengadakan sesi bertemu peminat artis Thailand, iaitu ’Thailand Fans: Together in Kuala Lumpur’ dan bukan penganjuran ‘Kissing Krist & Singto.

“JMM hanya mengetahui mengenai mengenai program membabitkan dua artis ikon LGBT itu selepas poster mengenainya tular di media sosial selain kehadiran mereka (Krist dan Singto) disahkan oleh penganjur,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, menerusi permohonan dibuat oleh penganjur, program Thailand Fans: Together in Kuala Lumpur bertujuan memperkenalkan Malaysia di mata peminat artis Thailand yang datang dari seluruh Asia.

Katanya, antara aktiviti dijadualkan diadakan sepanjang program itu adalah sesi temubual antara artis Thailand dan peminat, sesi foto berkumpulan, mini konsert membabitkan nyanyian secara solo dan berkumpulan, ‘Fun Games’ antara artis dan peminat di atas pentas, tayangan video ‘Malaysia Truly Asia’ selain tandatangan poster, photobook, majalah dan foto.

“Bagaimanapun, dalam surat permohonan itu tidak dinyatakan nama artis Thailand yang terbabit dalam program itu nanti.

“Justeru, sebaik menerima maklumat mengenai pengesahan pembabitan dua artis ikon LGBT itu, JMM mengambil langkah membatalkannya,” katanya.

Dalam kenyataan itu juga, JMM menyatakan dengan jelas bahawa tidak akan berkompromi dalam isu yang melanggar nilai Islam dan norma masyarakat yang dilihat boleh mengancam keharmonian negara. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.